
Konflik Asia Barat: Indonesia Pertimbang Tangguh Hantar Jemaah Haji 2026
Jakarta - Kementerian Haji dan Umrah Indonesia mengumumkan kemungkinan untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji negara itu bagi musim haji 2026.
Menurut CCN Indonesia yang memetik Menteri Haji dan Umrah, Mochamad Irfan Yusuf, pilihan ini masih dalam pertimbangan susulan faktor keselamatan jemaah.
Beliau berkata, pertimbangan itu berikutan keadaan perang yang semakin memuncak di rantau Asia Barat.
"Senario yang mungkin berlaku ialah kerajaan Arab Saudi membuka ruang tetapi Indonesia membatalkan penghantaran jemaah dalam keadaan semasa kerana risiko keselamatan dianggap terlalu besar bagi jemaah haji Indonesia," kata beliau dalam satu mesyuarat bersama Suruhanjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada Rabu.
Baca juga:Menurut Irfan, sekiranya pilihan itu dilaksanakan, kerajaan Indonesia perlu mengadakan rundingan di peringkat tinggi bersama kerajaan Arab Saudi.
Langkah itu bagi memastikan semua kos yang telah dibayar tidak hangus, merangkumi penginapan, makanan, pengangkutan serta perbelanjaan lain berkaitan jemaah.
Beliau turut mengharapkan agar kesemua kos tersebut dapat digunakan semula bagi pelaksanaan ibadah haji pada musim 2027.
“Pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk kemungkinan permohonan ditolak, jadi kami sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.
Dalam pada itu, Irfan berkata kerajaan masih terbuka kepada kemungkinan untuk meneruskan penghantaran jemaah haji pada 2026 walaupun berdepan risiko tinggi.
Namun, kerajaan perlu menyediakan langkah mitigasi laluan penerbangan bagi mengelakkan zon konflik yang melibatkan Iraq, Syria, Iran, Israel, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.
Beliau menambah, terdapat kemungkinan pengalihan laluan penerbangan melalui laluan selatan merentasi Lautan Hindi sebelum memasuki ruang udara Afrika Timur.
“Penyelarasan bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) amat penting bagi memastikan keselamatan zon penerbangan.
"Kesan kepada perubahan laluan ini melibatkan tempoh perjalanan yang lebih panjang,” katanya.

