
JAKARTA: Fenomena El Nino dijangka berterusan sehingga awal tahun depan, menyebabkan tempoh kemarau lebih panjang serta meningkatkan risiko kebakaran hutan di beberapa wilayah utama Indonesia termasuk Jawa, Sumatera dan Kalimantan.
Pemantauan terkini Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) mendapati keadaan kering kini meliputi 54.5 peratus zon bermusim di seluruh negara.
Ketua BMKG, Teuku Faisal Fathani, berkata kemarau dijangka mencapai kemuncak antara Ogos dan September, malah berpotensi menjadi lebih buruk sekiranya fenomena Dipol Lautan Hindi (IOD) positif berlaku lewat tahun ini.
IOD positif, iaitu fenomena perubahan suhu permukaan laut di Lautan Hindi, biasanya menyebabkan pengurangan taburan hujan apabila berlaku bersama El Nino, sekali gus memburukkan keadaan kemarau di rantau Asia Tenggara.
Data pemantauan titik panas turut menunjukkan risiko kebakaran hutan meningkat lebih pantas sehingga pertengahan 2026 berbanding beberapa kitaran El Nino pada 2015, 2019 dan 2023.
Kalimantan Barat, Papua Selatan dan Riau kini merekodkan titik panas tertinggi, dengan jerebu setempat dikesan di beberapa kawasan di Kalimantan Barat.
Susulan mesyuarat Kabinet tergempar yang dipengerusikan Presiden Prabowo Subianto awal minggu ini, kerajaan mengarahkan pelaksanaan tindak balas bersepadu melibatkan operasi pembenihan awan, aset ketenteraan serta kemudahan bekalan air kecemasan.
Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kerajaan Indonesia turut menilai daya tahan sistem pengurusan air, operasi pemadaman kebakaran serta rizab bekalan pertanian negara ketika berdepan tempoh cuaca kering berpanjangan.
Bagi mengelakkan berulangnya kenaikan harga makanan, Kementerian Pertanian melaksanakan langkah pertahanan infrastruktur pencegahan beberapa bulan lebih awal sebelum musim kering mencapai kemuncak.
Ini termasuk pengagihan 100,000 pam air, pemulihan 900,000 hektar rangkaian pengairan serta penggunaan varieti benih tahan kemarau.
Kementerian itu turut memanfaatkan kira-kira 800,000 hektar kawasan tanah paya yang masih mampu mengekalkan kelembapan ketika paras air permukaan menurun.- ANTARA
The post Indonesia siap sedia hadapi kemarau panjang appeared first on Utusan Malaysia.

