

Pensyarah dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia
Malaysia sedang berdepan pelbagai cabaran pembangunan infrastruktur yang semakin kompleks dan memerlukan penyelesaian yang lebih inovatif.
Pertumbuhan pesat kawasan bandar, peningkatan jumlah penduduk serta perubahan corak pembangunan telah memberi tekanan besar kepada rangkaian infrastruktur sedia ada.
Pada masa sama, negara turut berdepan isu banjir bandar yang semakin kerap berlaku, kejadian tanah runtuh, kesesakan lalu lintas serta masalah penyelenggaraan aset awam yang semakin meningkat.
Cabaran ini menjadi lebih rumit apabila perubahan iklim global turut memberi kesan kepada kestabilan dan ketahanan infrastruktur negara. Keadaan ini menunjukkan pendekatan konvensional dalam pembinaan dan pengurusan infrastruktur perlu ditambah baik agar lebih mampan serta mampu memenuhi keperluan masa hadapan.
Konsep Industri 5.0 dilihat sebagai satu pendekatan baharu berpotensi mengubah landskap sektor kejuruteraan awam Malaysia ke arah lebih moden, cekap dan berdaya tahan.
Secara asasnya, Industri 5.0 merupakan evolusi baharu selepas Revolusi Industri 4.0. Jika Industri 4.0 memberi tumpuan kepada automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi pintar, Industri 5.0 pula menekankan keseimbangan antara teknologi, manusia dan kelestarian alam.
Konsep ini melihat teknologi sebagai alat membantu manusia membuat keputusan lebih baik dan bukannya menggantikan sepenuhnya peranan manusia.
Dalam era Industri 5.0, pembangunan tidak lagi diukur semata-mata berdasarkan keuntungan ekonomi dan produktiviti. Sebaliknya, aspek kesejahteraan masyarakat, kelestarian alam sekitar serta daya tahan sistem turut menjadi keutamaan.
Pendekatan ini amat sesuai dengan keperluan sektor kejuruteraan awam yang bertanggungjawab menyediakan infrastruktur untuk kegunaan masyarakat dalam jangka masa panjang.
Transformasi teknologi
Sektor kejuruteraan awam sebenarnya telah mula melalui transformasi digital sejak era Revolusi Industri 4.0. Pelbagai teknologi moden telah diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan pembinaan dan pengurusan projek.
Antara teknologi yang semakin meluas digunakan ialah Building Information Modelling (BIM), Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), dron, teknologi geospatial dan analitik data raya.
Penggunaan BIM membolehkan semua maklumat projek disepadukan dalam satu model digital lengkap, membantu jurutera, arkitek dan kontraktor berkolaborasi lebih berkesan sepanjang tempoh projek.
Selain itu, penggunaan dron membolehkan kerja pemantauan tapak dilakukan lebih cepat, selamat dan menjimatkan kos berbanding kaedah konvensional.
Pengumpulan data masa nyata melalui sensor IoT pula membantu pihak pengurusan memahami keadaan sebenar sesuatu aset secara berterusan. Bagaimanapun, Industri 5.0 membawa transformasi lebih menyeluruh dengan menghubungkan teknologi ini secara lebih strategik bagi menghasilkan keputusan lebih tepat dan berimpak tinggi.
Namun, kecanggihan teknologi bukanlah matlamat akhir Industri 5.0. Nilai sebenar teknologi terletak pada keupayaannya memperkukuh pertimbangan profesional manusia.
AI boleh membantu mengenal pasti pola risiko, Digital Twin boleh mensimulasikan pelbagai senario dan sensor boleh menyediakan data masa nyata, tetapi pengalaman, pertimbangan kejuruteraan serta pemahaman terhadap keperluan masyarakat kekal penting dalam proses membuat keputusan.
Salah satu matlamat utama Industri 5.0 membangunkan infrastruktur lebih pintar dan berdaya tahan. Infrastruktur pintar bukan sahaja mampu berfungsi dengan baik, malah berupaya memberi maklumat mengenai keadaan semasa aset tersebut kepada pihak berkuasa.
Sebagai contoh, sensor dipasang pada jambatan boleh mengesan perubahan getaran, pergerakan struktur atau kerosakan kecil sebelum ia menjadi masalah yang lebih serius. Begitu juga dengan cerun, empangan dan jalan raya boleh dipantau secara masa nyata melalui sistem pemantauan bersepadu.
Maklumat diperoleh membolehkan tindakan awal diambil sebelum berlakunya kegagalan struktur yang boleh mengancam keselamatan orang awam. Pendekatan ini membantu mengurangkan risiko kemalangan, kerugian ekonomi dan gangguan terhadap kehidupan masyarakat.
Kejadian mendapan tanah dan lubang benam di kawasan bandar turut menunjukkan kepentingan pengurusan maklumat infrastruktur bawah tanah lebih sistematik.
Integrasi GIS, BIM, sensor pemantauan dan Digital Twin berpotensi membantu pihak berkuasa memahami hubungan antara utiliti bawah tanah, keadaan geoteknikal dan pembangunan di permukaan.
Ini dapat menyokong pengesanan risiko lebih awal serta membantu mengurangkan gangguan perkhidmatan dan risiko terhadap keselamatan awam.
Selama ini, kebanyakan kerja penyelenggaraan infrastruktur dilakukan secara reaktif, iaitu selepas kerosakan berlaku atau apabila aduan diterima daripada pengguna. Pendekatan sedemikian sering menyebabkan kos pembaikan menjadi lebih tinggi kerana kerosakan telah berada pada tahap yang serius.
Dalam era Industri 5.0, penyelenggaraan preventif menjadi keutamaan. Melalui penggunaan AI, sensor pintar dan analitik data, keadaan sesuatu aset boleh dipantau secara berterusan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal kerosakan.
Jurutera boleh merancang pembaikan lebih awal sebelum kegagalan berlaku, sekali gus mengurangkan kos penyelenggaraan dan meningkatkan keselamatan pengguna. Pendekatan ini membantu memanjangkan jangka hayat aset.
Penggunaan AI dan data pemantauan masa nyata membuka ruang kepada penyelenggaraan prediktif dan berasaskan keadaan aset.
Melalui pendekatan ini, intervensi boleh dirancang berdasarkan tahap kemerosotan sebenar dan jangkaan risiko kegagalan, bukan hanya berdasarkan tempoh penggunaan aset.
Satu lagi teknologi yang semakin mendapat perhatian ialah Digital Twin. Ia merujuk kepada replika digital bagi sesuatu aset fizikal sentiasa dikemas kini menggunakan data masa nyata daripada sensor dan sistem pemantauan.
Teknologi ini membolehkan jurutera melihat keadaan sebenar sesuatu infrastruktur tanpa perlu berada di lokasi. Melalui Digital Twin, prestasi jambatan, bangunan, sistem saliran atau rangkaian utiliti dapat dianalisis dengan lebih mendalam.
Jurutera juga boleh menjalankan simulasi pelbagai senario risiko seperti banjir, hakisan, gempa bumi atau kerosakan struktur bagi menilai tahap ketahanan aset tersebut. Keupayaan ini membantu pihak berkuasa membuat keputusan yang lebih tepat dan berasaskan data.
Cabaran terbesar
Perubahan iklim kini menjadi antara cabaran terbesar dihadapi negara-negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Peningkatan hujan ekstrem dan kejadian banjir bandar memberi tekanan besar kepada sistem saliran, jalan raya dan kemudahan awam.
Dalam situasi ini, Industri 5.0 menawarkan pelbagai penyelesaian yang lebih proaktif. Penggunaan sensor masa nyata, teknologi ramalan berasaskan AI dan sistem amaran awal membolehkan pihak berkuasa memantau situasi dengan lebih tepat.
Maklumat diperoleh membantu agensi berkaitan membuat keputusan lebih pantas sebelum sesuatu bencana menjadi lebih serius. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan risiko kerosakan infrastruktur malah dapat melindungi nyawa dan harta benda masyarakat.
Selain aspek keselamatan dan ketahanan, Industri 5.0 turut memberi penekanan terhadap kelestarian alam sekitar. Sektor pembinaan merupakan antara industri menggunakan sumber semula jadi dalam kuantiti besar.
Usaha untuk mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan penggunaan sumber perlu diberi perhatian.
Teknologi digital juga membolehkan penggunaan bahan binaan dioptimumkan sekali gus mengurangkan pembaziran sepanjang pelaksanaan projek.
Walaupun manfaat Industri 5.0 amat besar, pelaksanaannya bukan sesuatu yang mudah. Kos pelaburan awal bagi teknologi digital dan sistem pintar masih agak tinggi, terutama bagi organisasi mempunyai sumber kewangan terhad.
Kerajaan, institusi pendidikan tinggi, badan profesional dan sektor swasta perlu memainkan peranan masing-masing dalam mempercepatkan pengadaptasian Industri 5.0. Pelaburan dalam pembangunan modal insan perlu diberi keutamaan bagi melahirkan lebih ramai profesional yang mahir dalam teknologi digital dan pengurusan data.
The post Industri 5.0 pemacu infrastruktur appeared first on Kosmo Digital.


