Industri kewangan perlu bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan, pengawal selia bagi memerangi jenayah kewangan - AICB

3 Oct 2023 • 3:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Industri kewangan perlu bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan, pengawal selia bagi memerangi jenayah kewangan - AICB

azan

03/10/2023 - 15:21

KUALA LUMPUR 3 Okt - Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) menyarankan agar institusi kewangan, agensi penguatkuasaan dan pengawal selia untuk bekerjasama secara kolektif bagi mewujudkan protokol pencegahan pengubahan wang haram (AML) dan pencegahan pembiayaan keganasan (CTF) yang ketat bagi mencipta semula kepercayaan dalam konteks jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan.

Pengerusinya, Tan Sri Azman Hashim berkata, kepercayaan dalam kalangan negara juga penting untuk berkongsi risikan, kerjasama dalam penyiasatan, dan mengharmonikan peraturan AML dan CTF.

“Kerjasama antarabangsa adalah yang paling utama. Dengan mengukuhkan kepercayaan antara negara, kita mewujudkan barisan yang bersatu menentang pembiayaan keganasan yang mencetuskan bencana global.

“Kerajaan mesti memimpin melalui teladan, mengutamakan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam dasar dan amalan mereka.

“Ini mendukung kepercayaan kepada kerajaan sambil menunjukkan komitmen terhadap keselamatan dan sekuriti negara,” katanya dalam ucapan alu-aluannya di Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) ke-13, lapor Bernama, hari ini.

image is not available
Tan Sri Azman Hashim (duduk lima dari kiri) semasa Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) ke-13 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Persidangan bermula 2 hingga 4 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu menampilkan perbincangan menarik dan perdebatan hangat yang merangkumi jenayah kewangan pada hari ini, penggunaan teknologi terkini yang mengubah landskap, aspek-aspek penting integriti, ketelusan dan akauntabiliti dari perspektif AML/CFT dalam hubungannya dengan sistem kewangan.

Azman berkata kemajuan teknologi juga memainkan peranan penting dalam penciptaan semula kepercayaan.

“Inovasi seperti teknologi blockchain, kecerdasan buatan dan analitik data besar ialah alat berkuasa yang boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti corak jenayah kewangan, penipuan baharu dan scam serta memberikan pandangan tentang aktiviti yang mencurigakan, yang kesemuanya adalah kunci dalam memerangi jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan,” katanya.

Beliau berkata, teknologi baharu itu juga telah memberikan skop yang lebih luas kepada pengendali penipuan untuk beroperasi dengan lebih hebat, yang mana ia ditunjukkan melalui penipuan yang semakin meningkat, menyebabkan orang ramai sangat terdedah.

Sehubungan itu, Pengerusi AICB menegaskan bahawa kesedaran dan pendidikan yang berterusan adalah perlu dalam landskap kewangan global yang berkembang pesat pada hari ini.

“Kesimpulannya, penciptaan semula kepercayaan adalah suar harapan yang membimbing kita ke arah negara yang mampan, stabil dan selamat. Dalam memerangi jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan, kepercayaan adalah asas untuk bergantung.

“Dengan memupuk budaya integriti, ketelusan dan akauntabiliti, kita bukan sahaja melindungi sistem kewangan kita tetapi juga melindungi negara dan rakyat daripada ancaman yang cuba menjejaskan kestabilan dan pertumbuhannya,” katanya. - DagangNews.com