Industri sayur cecah RM7.6 bilion setahun, Farm Price dalam pasaran menguntungkan - Rakuten Trade
herman
15/05/2024 - 10:16
KUALA LUMPUR 15 Mei - Industri sayur segar di Malaysia yang mempunyai saiz pasaran sebanyak RM7.6 bilion pada tahun 2023 memperlihatkan potensi besar Farm Price Holdings Berhad untuk mendapat manfaat daripada landskap yang menguntungkan ini.
Menurut Rakuten Trade, apatah lagi industri ini penting dalam agenda keselamatan makanan Malaysia dengan impak langsung terhadap pemakanan, kesihatan, dan kos sara hidup.
Justeru, kata firma penyelidikan itu, industri sayur-sayuran menawarkan peluang pertumbuhan yang signifikan, yang disokong oleh fokus kerajaan dan permintaan pengguna terhadap hasil segar.
"Pada tahun 2022, industri ini menyumbang 8.9% kepada KDNK sektor pertanian, dengan makanan dan minuman tanpa alkohol membentuk 29.8% dari berat Indeks Harga Pengguna (IHP) pada tahun 2023.
"Dengan saiz pasaran RM7.6 bilion pada tahun 2023, industri ini menawarkan peluang pertumbuhan signifikan yang disokong oleh fokus kerajaan dan permintaan pengguna terhadap hasil segar. Oleh itu, FPHB berpotensi untuk mendapat manfaat daripada landskap industri yang menguntungkan ini," katanya dalam nota penyelidikan.
Farm Price, pengedar sayur-sayuran, produk makanan & minuman dan barang runcit dari Johor membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE semalam dengan premium 100% sebanyak 48 sen berbanding tawaran awam permulaan (IPO) 24 sen sesaham.
Kumpulan itu berjaya mengumpul sejumlah RM24.5 juta daripada IPO.
Rakuten Trade dalam pada itu mengunjurkan pendapatan CAGR Farm Price bagi FY23-FY26F melonjak sebanyak 33%, yang disokong oleh beberapa faktor termasuk peralihan kepada syif 24 jam untuk memenuhi permintaan yang meningkat.
Faktor kedua katanya, ialah pengembangan perkhidmatan yang menambah nilai, terutamanya menyasarkan pasaran Singapura dan faktor ketiga ialah pengembangan Pusat Pengedaran Berpusat Senai.

"Selain itu, FPHB mempunyai lembaran kewangan yang sihat, dengan kadar gearing yang turun dari 2.66x pada FY20 kepada 0.53x pada FY23, satu trend yang dijangka akan berterusan selepas IPO," jelasnya.
Pada masa kini, kata Rakuten Trade, syarikat ini mengendalikan kira-kira 980 SKU (Unit Kod Stok) sayur-sayuran segar, memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai.
Katanya, penyediaan sayur-sayuran yang sudah dibungkus dan yang dipotong segar tidak hanya memenuhi keperluan pengguna tetapi juga memberikan keuntungan yang lebih tinggi.
"Sebagai tindak balas terhadap permintaan yang meningkat dan kekangan operasi, Farm Price secara strategik beroperasi 24 jam sehari untuk menyelaraskan proses penghantaran dan penyimpanan.
"Pada masa kini, kemudahan bilik sejuk beroperasi pada kapasiti lebih daripada 95% dan oleh itu Farm Price merancang untuk menambah syif pemprosesan, meningkatkan tempoh penghantaran dan menggunakan kontena bersejuk serta gudang sementara di tapak untuk menampung permintaan yang meningkat.
"Sebagai sebahagian daripada strategi pengembangannya, Farm Price sedang menjalankan pembinaan fasiliti baru untuk memperluaskan pusat pengedaran pusatnya yang akan meningkatkan luas bangunannya dari 78,721 kaki persegi kepada 149,548 kaki persegi, yang dirancang akan bermula pada suku pertama tahun 2026," ujarnya. - DagangNews.com
