Industri sedia bincang laksana harga minyak masak dua peringkat

6 Dec 2022 • 4:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Salahuddin Ayub

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pemain industri bersedia duduk berbincang bagi mempertimbangkan pelaksanaan harga minyak masak dua peringkat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) minggu hadapan.

"Pelaksanaan harga minyak masak dua peringkat yang akan diperincikan ini akan mengambil kira semua aspek," katanya.

Tegas beliau, sebarang pendekatan dan pendirian yang dibuat kementerian akan memberi manfaat kepada rakyat.

"Rakyat tetap akan dapat membeli minyak masak pada harga berpatutan," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan sesi libat urus bersama pemain industri di kementeriannya pada Selasa.

Pada masa sama Salahuddin berkata, kementerian juga sedang mengkaji sebuah sistem agar subsidi minyak masak dalam kemasan polibeg satu kilogram (1kg) dapat dinikmati oleh golongan B40 dan M40.

"Bukan hanya kepada isi rumah golongan sasar tersebut, tetapi kita juga akan mengenal pasti pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) seperti penjual pisang goreng, warung-warung, pengusaha kantin dan kedai yang bergiat aktif dan memerlukan minyak masak polibeg 1kg," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu untuk mencerakin dan menelusuri implikasi berkaitan subsidi serta harga barangan dalam usaha kerajaan mengatasi peningkatan kos sara hidup.

Kadar baharu minyak masak kegunaan domestik dan eksport dilapor pernah dibincangkan oleh kerajaan terdahulu.