Industri ternakan ayam bakal berdepan tekanan kos makanan susulan kenaikan harga gandum, jagung - MIDF Research
herman
06/06/2024 - 09:49
KUALA LUMPUR 6 Jun - Bahan utama dalam produk makanan ternakan seperti jagung dan gandum dikesan mengalami kenaikan sekali gus dijangkakan memberi tekanan kos ke atas industri penternakan ayam dan itik, kata MIDF Research.
Walau bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, harga dua komoditi itu masih berada di bawah paras harga puncak dua tahun yang dicatatkan pada 2022 dan 2023.
Justeru, katanya, tekanan kos yang dihadapi pemain industri adalah ringan dengan kos bahan mentah untuk makanan ayam masih diunjur rendah untuk sepanjang tahun ini.
"Sedikit kenaikan dalam harga boleh memberi manfaat kepada perniagaan yang terlibat dalam kilang makanan dan bahan mentah, seperti QL Resources (Beli, TP: RM7.25) dan Leong Hup International (Beli, TP: RM0.70), yang membawa kepada pendapatan yang lebih tinggi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Tambah MIDF Research, penghapusan kawalan harga ayam berkuat kuasa sejak 1 November 2023 boleh mengekalkan margin keuntungan QL dan perniagaan ternakan Leong Hup selepas penghapusan subsidi.
"Sementara itu, subsidi telur yang berterusan, ditambah dengan kos bahan mentah yang rendah, mungkin memberikan pengeluar telur dengan margin yang baik, walaupun di bawah kawalan harga sedia ada," jelasnya.
Mengenai makanan dan minuman, firma penyelidikan itu berkata, terdapat peningkatan kepada harga gandum pada Mei 2024 disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang meningkat dan kebimbangan mengenai cuaca buruk di negara pengeluar.
Kata MIDF Research, walau bagaimanapun, harga gandum secara umumnya masih jauh di bawah tahap puncak dua tahunnya.
"Kami tetap berhati-hati mengenai trend harga koko, biji kopi Arabika, dan Robusta pada masa akan datang kerana isu gangguan bekalan asas masih berterusan, meningkatkan risiko harga yang tinggi sepanjang tahun 2024," ujarnya.

Justeru katanya, produk berkaitan koko dan kopi di bawah Nestle Malaysia iaitu Nescafe serta Milo dan produk konfeksi manis Fraser and Neave jenama Cocoland mungkin akan menghadapi kos bahan mentah yang tinggi, mengambil kira asas dalam gangguan bekalan untuk komoditi yang tidak selesai.
Dalam pada itu, MIDF Research menjangkakan tekanan inflasi akan sedikit mereda pada separuh kedua tahun 2024 disebabkan oleh kemungkinan penangguhan dalam pelaksanaan dasar fiskal lain seperti cukai barangan bernilai tinggi (HVGT) dan penyasaram subsidi bahan api.
Katanya, ini akan memberi kelebihan kepada peniaga runcit dan pengeluar barang keperluan asas yang menawarkan produk berharga rendah dalam jangka masa terdekat.
"Walaupun dijangkakan tekanan inflasi akan berkurang, kami berhati-hati terhadap ketidakpastian yang berkaitan dengan jadual pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api dan cukai HVG.
"Oleh itu, kami mengekalkan saranan NETRAL terhadap sektor pengguna. Kami terus memberi keutamaan kepada Fraser & Neave Holdings (BELI, TP: RM37.00) dan QL Resources (BELI, TP: RM7.25) sebagai pilihan utama kami," jelasnya. - DagangNews.com

