
KUALA LUMPUR: Malaysia adalah antara kelompok negara-negara ASEAN yang mencatat kadar inflasi rendah dan boleh diurus berbanding negara lain seperti Amerika Syarikat yang melonjak ke paras baharu 9.1 peratus pada Jun 2022 manakala Turkiye meningkat hampir 80 peratus pada bulan lepas.
Bekas Ketua Ahli Ekonomi Alliance Bank Malaysia Bhd Manokaran Mottain berkata kumpulan barangan yang digunakan bagi mengukur inflasi termasuk barangan kawalan yang turut membantu dari segi penurunan kadar inflasi, susulan pemberian subsidi oleh kerajaan terutama bagi minyak serta makanan yang dilaksanakan di negara ini.
Malah, beliau turut memuji inisiatif kerajaan yang bertindak memperuntukkan bahagian subsidi lebih besar berbanding tahun-tahun sebelum ini dengan jumlahnya mencecah RM20 bilion hingga RM30 bilion.
“Peruntukan itu agak wajar...namun pelaksanaannya perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelak berlaku sebarang ketirisan,” katanya kepada Bernama.
Pada 25 Jun lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata jumlah subsidi RM77.3 bilion itu meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) yang berjumlah RM37.3 bilion manakala minyak masak (RM4 bilion) dan pelbagai bentuk bantuan termasuk Bantuan Keluarga Malaysia atau BKM sebanyak RM11.7 bilion dan subsidi lain berjumlah RM14.6 bilion.
Mengulas lanjut, Manokaran berkata kumpulan barangan yang digunakan bagi mengukur inflasi perlu dikemaskini berdasarkan aliran perbelanjaan semasa manakala kewajaran keperluan pula perlu disemak semula.
Jelasnya, walaupun subsidi membantu dari segi mengawal kadar inflasi, kerajaan juga sewajarnya melaksanakan subsidi bersasar, terutamanya bagi membantu mereka yang berpendapatan rendah.
“Kadar inflasi boleh dikawal dan berada di paas rendah sekiranya kita benar-benar dapat memantau pelaksanaan subsidi yang disediakan.
“Sebagai contoh, subsidi bahan api RON95 disediakan untuk rakyat Malaysia dan RON97 bagi rakyat Malaysia dan bukan warganegara. Namun, apakah kita benar-benar dapat memantau pelaksanaannya? Inilah yang masih menjadi persoalan,“ katanya.
Laporan media antarabangsa menunjukkan empat negara ASEAN telah mencatat peningkatan inflasi yang ketara setakat April lepas termasuk Indonesia (149 peratus), Singapura (161 peratus), Laos (206 peratus) dan Thailand (267 peratus).
Bagaimanapun, kadar inflasi susut di Malaysia dan keadaan itu sebaliknya hampir tidak berubah di Filipina dan Vietnam.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada 30 Jun lepas berkata, walaupun kadar inflasi meningkat di serata dunia, Malaysia sebaliknya muncul antara negara dengan kadar rendah iaitu 2.8 peratus.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia pula menunjukkan Indeks Harga Pengguna Malaysia meningkat 2.8 peratus tahun ke tahun kepada 126.6 pada Mei 2022 daripada 123.1 pada tempoh sama tahun lepas.
Menurut jabatan itu, kenaikan tersebut melepasi purata inflasi Malaysia bagi tempoh Januari 2011- Mei 2022 (1.9 peratus).
Pada masa sama, Manokaran turut menegaskan bahawa usaha kerajaan dalam pelaksanaan dasar atau inisiatif berkaitan bagi mengekang kenaikan kadar inflasi adalah penting dalam usaha memastikan peratusan terbabit di tahap yang boleh diurus.
Tinjauan Moody’s Analytics baru-baru ini menunjukkan walaupun Indonesia dan Malaysia merupakan negara sedang pesat membangun yang mencatat pertumbuhan kukuh dalam beberapa dekad, sejarah juga membuktikan bahawa inflasi berkemungkinan besar kembali ke paras lebih normal yang menyamai negara-negara maju.
“Ini mungkin menggambarkan penggunaan subsidi yang ketara oleh kerajaan untuk memastikan harga domestik kekal rendah, sekali gus dapat mengurangkan tekanan inflasi. Pada masa sama, kedua-dua negara ini juga kaya sumber asli seperti komoditi tenaga dan hasil mineral,” katanya.-Bernama


