Inflasi dijangka kekal stabil hingga 2.5 peratus walau tekanan global meningkat

LocalBusiness & Finance
15 Jun 2026 • 11:37 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Inflasi dijangka kekal stabil hingga 2.5 peratus walau tekanan global meningkat

PUTRAJAYA, 15 JUN: Kementerian Ekonomi menjangka kadar inflasi Malaysia kekal terkawal antara 1.5 dan 2.5 peratus sepanjang tahun ini meskipun berdepan tekanan daripada krisis bekalan tenaga dan ketidaktentuan geopolitik global.

Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan komited memastikan inflasi tidak memberi kesan renjatan besar kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat walaupun tekanan harga dijangka berterusan.

Katanya kadar inflasi negara yang terkini direkodkan pada 1.9 peratus, jauh lebih rendah daripada unjuran inflasi global sebanyak 4.3 peratus.

Image from: Inflasi dijangka kekal stabil hingga 2.5 peratus walau tekanan global meningkat
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir. Foto BERNAMA

“Untuk tahun 2026, unjuran yang kita selesa adalah inflasi antara 1.5 dan 2.5 peratus. Ini sasaran kita supaya pergerakan inflasi kekal dalam ruang lingkup yang boleh kita hadapi dan tidak memberi kesan yang terlampau ketara kepada kehidupan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan peringkat kementerian di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai jangkaan tekanan inflasi pada suku kedua tahun ini berikutan gangguan bekalan tenaga global dan impaknya terhadap sektor pengangkutan serta makanan.

Akmal Nasrullah berkata tekanan inflasi ketika ini berpunca daripada kenaikan kos berkaitan bekalan minyak dan input barangan yang diperlukan untuk mengekalkan aktiviti ekonomi.

Sehubungan itu, katanya kerajaan meneruskan pelbagai langkah mitigasi termasuk penyaluran subsidi bahan api secara bersasar dan kawalan kos logistik menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Selain itu, katanya tambahan pembiayaan RM5 bilion melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan kemudahan Bank Negara Malaysia bagi membantu kelangsungan perusahaan kecil.

Bagaimanapun, beliau mengakui tekanan inflasi boleh meningkat sekiranya krisis global berlarutan.

“Setakat ini, kita berjaya mengekalkan kadar inflasi pada 1.9 peratus tetapi tekanan itu akan terus memberi kesan.

“Oleh sebab itu, kita terus melihat data rasmi dan keadaan sebenar pada peringkat industri supaya langkah intervensi dapat dilakukan lebih awal,” katanya.