Inflasi meningkat pada Mac 2026, mencerminkan harga minyak lebih tinggi - BNM

LocalBusiness & Finance
30 Apr 2026 • 4:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Inflasi meningkat pada Mac 2026, mencerminkan harga minyak lebih tinggi - BNM Image from: Inflasi meningkat pada Mac 2026, mencerminkan harga minyak lebih tinggi - BNM johardy30/04/2026 - 16:50 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 April - Inflasi Malaysia meningkat pada Mac 2026, didorong terutamanya oleh kenaikan harga bahan api yang terus memberi tekanan kepada kos sara hidup, sekali gus menandakan persekitaran harga yang masih rapuh meskipun terdapat mekanisme subsidi bersasar yang berterusan, kata Bank Negara Malaysia.

 

Dalam Nota Sorotan Bulanan, bank pusat berkata, pada bulan Mac, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing meningkat kepada 1.7% dan 2.1% (Februari 2026: 1.4% dan 2%).

 

"Peningkatan inflasi keseluruhan didorong terutamanya oleh harga runcit bahan api yang lebih tinggi, selaras dengan harga minyak global yang meningkat, walaupun kesan keseluruhan telah diimbangi oleh subsidi bersasar yang berterusan untuk RON95 dan diesel,'' kata bank pusat.

 

Kenaikan inflasi pada bulan Mac 2026 didorong terutamanya oleh harga runcit bahan api yang lebih tinggi selaras dengan peningkatan harga minyak global.

 

Namun, kesan keseluruhan inflasi ini telah diimbangi oleh pelaksanaan subsidi bersasar, dengan harga petrol RON95 dikekalkan pada RM1.99 seliter di bawah program BUDI95, manakala harga diesel bersubsidi kekal pada RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) turut memaklumkan bahawa penurunan harga makanan segar, khususnya hasil laut dan daging, membantu mengurangkan sebahagian tekanan kenaikan kos bahan api tersebut.

 

Dalam perkembangan lain, Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (IOWRT) meningkat 4.4% pada Februari, namun perlahan berbanding 5.8% pada Januari.

 

“Pertumbuhan dalam segmen borong dan runcit bertambah baik. Ini didorong terutamanya oleh borong makanan, minuman, tembakau dan barangan isi rumah; serta perdagangan runcit dalam kedai bukan khusus dan jualan runcit peralatan isi rumah dalam kedai khusus,” kata Bank Negara.

 

Namun begitu, peningkatan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh penguncupan dalam segmen kenderaan bermotor, mencerminkan penurunan jualan kereta serta kelemahan aktiviti motosikal, penyelenggaraan dan pembaikan.

 

Kredit swasta kekal stabil

Dari sudut kredit, keadaan terus stabil apabila jumlah kredit kepada sektor bukan kewangan swasta berkembang 5.6% pada Mac, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya.

 

Pertumbuhan ini disokong oleh pengembangan pinjaman perniagaan yang lebih kukuh kepada 5.8% daripada 4.6% pada Februari, khususnya dalam kalangan bukan PKS bagi tujuan modal kerja.

 

“Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal pada 5.4% berbanding 5.5% pada Februari, disokong pertumbuhan pinjaman yang stabil bagi kebanyakan tujuan,” menurut bank pusat itu.

 

Sementara itu, pertumbuhan bon korporat menurun kepada 5.8% daripada 7.4%, berikutan pengeluaran bon yang lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Ringgit lemah, pasaran tertekan tekanan geopolitik

Sistem perbankan Malaysia terus menunjukkan ketahanan, dengan kualiti aset kekal kukuh. Pinjaman terjejas kasar (gross impaired loans) berada pada 1.4%, manakala pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 1.0%. Liputan kerugian pinjaman pula kekal berhati-hati pada 125% daripada pinjaman terjejas kasar, mencerminkan penampan yang mencukupi terhadap risiko.

 

Dalam pasaran kewangan luar, sentimen terjejas akibat ketegangan geopolitik susulan konflik Asia Barat yang meningkat, sekali gus melemahkan keyakinan pelabur global.

 

Ringgit susut 3.8% berbanding dolar AS pada Mac, seiring dengan mata wang serantau lain, dipengaruhi pengukuhan dolar Amerika Syarikat dalam suasana penghindaran risiko.

 

Pada masa sama, hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun meningkat 15 mata asas, mencerminkan jangkaan inflasi global yang lebih tinggi.

 

Pasaran ekuiti turut tertekan apabila FBM KLCI susut 1.5% sepanjang bulan tersebut, apabila pelabur bertindak lebih berhati-hati.

 

Walaupun berdepan cabaran luaran, sistem kewangan Malaysia kekal berdaya tahan dengan Nisbah Liputan Kecairan (Liquidity Coverage Ratio) perbankan berada pada 144.6% pada Mac, jauh melebihi keperluan kawal selia, sekali gus menyediakan penampan kukuh terhadap kejutan kecairan. - DagangNews.com

Terkini featured standard Image from: Inflasi meningkat pada Mac 2026, mencerminkan harga minyak lebih tinggi - BNM