Inflasi PCE Jatuh Ke 3.0%! ‘Lampu Hijau’ Buat Fed Batalkan Kenaikan Kadar Pada Oktober?

Business & Finance
30 Sep 2026 • 9:21 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Inflasi PCE Jatuh Ke 3.0%! ‘Lampu Hijau’ Buat Fed Batalkan Kenaikan Kadar Pada Oktober?

Indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) Amerika Syarikat (A.S.) yang menjadi ukuran inflasi pilihan Rizab Persekutuan (Fed) mencatatkan kenaikan tahunan sebanyak 3.4% pada bulan Ogos, susut daripada unjuran awal pasaran sebanyak 3.7%. Berdasarkan laporan Jabatan Perdagangan pada hari Rabu, inflasi bulanan meningkat 0.3%, manakala bacaan PCE teras (tidak termasuk komponen makanan dan tenaga yang tidak menentu) meningkat 0.2% secara bulanan dan 3.0% secara tahunan, jauh lebih rendah berbanding konsensus unjuran 3.3%.

Keluaran data yang lebih perlahan dan serta-merta menyuntik kelegaan di Wall Street. Secara tidak langsung pasaran saham meningkat manakala hasil bon Perbendaharaan berundur daripada paras kemuncak. Komuniti pelabur dan meja dagangan pasaran wang bertindak melaraskan semula jangkaan mereka, mengurangkan kebarangkalian kenaikan kadar faedah oleh Fed pada mesyuarat Oktober dan mengalihkan kemungkinan langkah pengetatan seterusnya kepada mesyuarat Disember.

Walau bagaimanapun, David Russell dari TradeStation memberi amaran agar pelabur tidak terlalu berpuas hati kerana data Ogos merupakan data lapuk yang belum mencerminkan kejutan lonjakan harga diesel dan komoditi tenaga pada bulan September. Selain itu, bacaan tahunan 3.4% bagi indeks utama dan 3.0% bagi indeks teras masih berada jauh di atas sasaran rasmi 2% yang ditetapkan oleh bank pusat. Pandangan mereka ini mengekalkan kemungkinan pengetatan lanjut sebelum tahun ini berakhir.

Dari segi kewangan isi rumah, perbelanjaan pengguna kekal berdaya tahan apabila melonjak 0.9% pada Ogos, melangkaui konsensus 0.8% sungguhpun pertumbuhan pendapatan peribadi merosot kepada 0.2%. Kenaikan harga bagi bulan berkenaan dipacu sebahagian besarnya oleh sektor tenaga, di mana harga petrol melambung 4.4%, kos perkhidmatan pengangkutan memecut 1.4%, serta perkhidmatan dan barangan tenaga naik 2.3%.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Perdagangan turut mengumumkan semakan meningkat yang signifikan bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua A.S. kepada kadar tahunan 2.2%, melonjak ketara berbanding anggaran awal 1.5%. Kenaikan ini dipacu oleh kekuatan perbelanjaan domestik swasta yang berkembang pesat pada kadar 4.6%, membuktikan momentum ekonomi asas kekal bertenaga di sebalik kitaran kadar faedah yang tinggi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved