Inflasi, persaingan sengit terus beri tekanan kepada hasil syarikat telekomunikasi - RHB Investment
herman
20/06/2024 - 10:40
KUALA LUMPUR 20 Jun - Purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) syarikat-syarikat telekomunikasi terus terbeban dengan tekanan inflasi dan persaingan sengit dalam pasaran.
RHB Investment Bank berkata, ini menyaksikan ARPU gabungan industri kekal tertekan pada suku kewangan berakhir Mac lalu dengan penurunan 4% YoY.
Katanya, syarikat telekomunikasi secara amnya berjaya menepati keputusan yang ditetapkan untuk suku tahun Mac lalu dengan Axiata menjangkaui ramalan konsensus manakala CelcomDigi (CDB) tersasar.
"Untuk suku tahun ini, prestasi dilihat menunjukkan trend yang lazimnya berlaku apabila hasil perkhidmatan mudah alih (MSR) susut 1.1% QoQ.
"Secara YoY, MSR menokok 0.1% dengan Maxis mencatat kenaikan lanjut dalam bahagian pasaran hasil (RMS) dan pada masa yang sama menyebabkan Celcom Digi kehilangan bahagian pasaran hasilnya.
"Kenaikan ini berlaku disebabkan oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen pascabayar (+6% YoY). Bahagian pasaran EBITDA (EMS) untuk Maxis pula berkembang 2% pts QoQ kepada 41.4%, dengan CDB mencatat penurunan EMS kepada 58.6%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

RHB Investment juga tidak melakukan pindaan kepada unjuran prestasi syarikat telekomunikasi untuk 2024.
Dalam pada itu, firma penyelidikan itu berkata, penjualan membabitkan pelan tambahan gentian mudah alih kekal menjadi fokus utama syarikat telekomunikasi dengan Telekom Malaysia (TM) memperkenalkan penawaran terbaharunya, UniVerse.
"Kami terus menggemari syarikat talian tetap/bersepadu atas faktor pemangkin berstruktur dan prospek perolehan lebih kukuh.
"Saranan dikekalkan NEUTRAL buat sektor ini, dengan persaingan, kegagalan mencapai sasaran perolehan dan kekangan kawal selia menjadi antara risiko utama," jelasnya.
Sementara itu, RHB Investment berkata, melalui kenyataan media yang dibuat pada 7 Jun, Maxis mengulangi hasratnya untuk menyokong usaha peralihan kepada rangkaian 5G yang kedua, selain bersedia untuk melengkapkan proses perjanjian langganan saham (SSA) tersebut dengan lebih awal.
"Pihak Kerajaan sudah menetapkan 21 Jun sebagai tarikh akhir untuk lima syarikat telekomunikasi memuktamadkan SSA tersebut untuk pegangan saham gabungan sebanyak 70% dalam Digital Nasional (DNB).
"Dengan pemegangan saham dalam DNB ini, usaha pelancaran rangkaian 5G kedua dapat dimulakan, namun ia akan memakan masa di samping syarikat pencari akses masih dikehendaki menggunakan rangkaian DNB dalam jangka sederhana," ujarnya.- DagangNews.com

