Influencer Nak Cerita Makan Ulat Sagu Tapi Salah Ulat?

Food
23 Jun 2022 • 10:00 AM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Image from: Influencer Nak Cerita Makan Ulat Sagu Tapi Salah Ulat?

Sumber: HelloSehat & OhMyMedia

Pernah dengar tentang ulat sagu? Ulat sagu atau nama saintifiknya Rhynchophorus ferrugineus adalah sejenis kumbang yang hidup dan boleh dijumpai di dalam batang sagu, pohon rumbia, pohon mulong atau pokok pantu yang reput. Di Sarawak, ulat sagu juga dipanggil ulat mulong. Ulat ini juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Si’et (Melanau), Tinduh (Iban), Sikot (Bidayuh) atau Butot.

Sumber: Dreamstime

Larva ulat sagu boleh ditemui di bahagian mereput pokok sagu, kemudiannya ia menjadi ulat kecil, lambat laun bertukar menjadi ulat besar sebelum bertukar kepompong dan menjadi kumbang. Ciri-ciri ulat sagu ialah ia berwarna putih kekuningan dan mempunyai kepala berwarna perang. Kalau di Sabah atau Sarawak, ada beberapa kaum yang akan memakan ulat ini dengan menggorengnya sebelum dihidangkan sebagai lauk dimakan dengan nasi. Ada juga kaum Maluku dan Kamoro di Papua membakar ulat ini seperti sate sebelum dimakan.

Sebelum kita masuk hukum Halal atau Haram memakan ulat sagu ni, kelmarin saya ternampak dua video berbeza di TikTok ada “influencer” yang bercerita tentang ulat sagu dan ingin memasak ulat sagu tetapi masalahnya, ulat di dalam video mereka itu bukan ulat sagu!

Perasan tak bentuk ulat yang ditunjukkan didalam kedua-dua video TikTok di atas? Mari kita letak gambar kedua-dua ulat sagu dan ulat yang digunakan oleh kedua-dua “influencer” di atas. Sangat jelas perbezaannya bukan? Tahukah ulat apa yang “influencer” tersebut gunakan?

Kiri, Ulat Sagu. Sumber: HelloSehat
Kanan, Ulat Kumbang Tanduk. Sumber: OhMyMedia

Sumber: CPDT

Tahukah anda, ulat dalam video itu adalah Ulat Kumbang Tanduk atau nama saintifiknya Oryctes rhinoceros? Ia adalah sejenis kumbang yang senang dijumpai di Asia, terutamanya Malaysia. Kumbang ini adalah sejenis haiwan perosak yang suka merosakkan pokok kelapa muda atau kelapa sawit. Ia akan mengorek ke dalam pucuk dan memakan tisu-tisu lembut kelapa. Kalau nak tahu pokok kelapa yang rosak akibat kumbang ini, tengok daun kelapanya. Kalau daun kelapa membentuk seperti kipas, maknanya pokok tersebut telah diserang kumbang ini waktu ia muda. Serangan yang teruk akan mengakibatkan air memenuhi lubang dan mendedahkan pucuk kepada serangan Kumbang Jalur Merah pula. Kumbang Tanduk ni bertelur dalam batang kelapa yang reput atau sampah sarap.

Adakah Halal atau Haram Untuk Memakan Ulat Sagu (atau ulat yang lain)?

Ketahuilah bahawa perkara ini sudahpun dikeluarkan kenyataan seperti di laman web Mufti Negeri Sarawak dan Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri. Ustaz Azhar Idrus juga pernah menyentuh tentang topik ini.

Pada asasnya, dalam mazhab Syafi‘i, hukum memakan ulat adalah diharamkan melainkan ulat yang berada dalam keju, cuka, kacang hijau, buah-buahan dan seumpamanya yang terdiri daripada makanan, yang mana ulat-ulat berkenaan lahir daripada bahan-bahan suci tersebut. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa terdapat tiga pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berkenaan kehalalan ulat ini iaitu pendapat pertama, ia adalah halal untuk dimakan. Pendapat kedua pula, ia adalah haram untuk dimakan. Manakala pendapat ketiga, ia halal dimakan bersama makanan yang ia lahir daripadanya, bukan secara terasing kerana haram memakannya secara terasing. [Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/15]

Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menyebutkan bahawa mengikut pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i, dihalalkan untuk memakan ulat yang dilahirkan daripada makanan seperti cuka, keju dan buah-buahan, hanya jika ia dimakan secara bersama. Begitu juga hukumnya apabila ia mati — dalam makanan itu — yakni halal untuk dimakan mengikut pendapat yang kuat. Hal ini kerana kesukaran untuk mengasingkannya. Sebahagian ulama terkemudian menyandarkan hukum daging yang berulat dengan hukum buah-buahan — yang mengandungi ulat. Berdasarkan kepada ‘illah ini, maka jika ia mampu atau mudah untuk diasingkan seperti ulat yang berada dalam epal, maka haram untuk memakannya secara bersama. Ibn Syahbah berkata bahawa itulah pendapat yang zahir, yakni apabila tidak kesukaran untuk membezakannya.

Di samping itu, terkeluar daripada lafaz “مَعَهُ” (yakni memakan ulat secara bersama dengan makanan itu), bagi kes memakan ulat secara berasingan. Hal ini kerana hukumnya adalah haram disebabkan oleh kenajisan bangkainya dan juga kejijikannya. Begitulah juga — yakni haram hukumnya — jika ulat itu diangkat ke tempat yang lain sebagaimana disebutkan oleh al-Bulqini, atau ulat itu pergi dengan sendiri ke tempat lain, kemudian ia kembali semula ke sarangnya (dalam buah itu) selepas ia dapat dipelihara daripadanya seperti mana yang dibahaskan oleh sebahagian ulama terkemudian. Pendapat kedua pula mengatakan halal secara mutlak, kerana ulat itu dianggap sebahagian daripada buah. Manakala pendapat ketiga mengatakan haram secara mutlak kerana ulat itu dikira sebagai bangkai. [Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/99]

Dipetik daripada laman web Dr Zulkifli Al Bakri

Pada masa yang sama, Lembaga Fatwa Negeri Sarawak berdasarkan pendapat Jumhur (Ulama Mazhab Syafi’e, Hanafi, Maliki dan Hanbali) juga sebulat suara bersetuju bahawa ulat sagu (dan ulat-ulat lain yang berasal dari tempat yang kotor, memakan makanan yang kotor dan sebagainya) adalah Haram. Bagi umat Islam, berhati-hati dengan pilihan makanan anda. Bukan sahaja khinzir itu yang haram dimakan, tetapi ada perkara-perkara lain yang perlu diselidik dahulu (dan jangan terlalu mudah terikut orang lain) sebelum memakan sesuatu ya.


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.