Infografik kawah laut di Pantai Batu Buruk tidak tepat & mengelirukan

Environment
26 Feb 2024 • 7:38 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Baru-baru ini, seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Pantai Batu Buruk akhirnya ditemukan lemas berhampiran Pulau Gemia, Marang. Mayat lelaki tersebut ditemui terapung oleh nelayan, 16 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

Susulan kes tersebut,ramai pihak tampil mendedahkan kawasan pantai itu dari dulu lagi tidak sesuai untuk mandi dan berenang. Tular juga infografik mengenai keadaan Pantai Buruk yang dikatakan punca mangsa lemas.

image is not available

Bagaimanapun, Pensyarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Effi Helmy Ariffin menyatakan infografik yang tular itu adalah tidak tepat dan berbeza dari situasi sebenar.

Katanya, situasi tersebut adalah kerana wujudnya beberapa bahagian dasar laut yang dalam dipengaruhi oleh faktor ombak, arus dan fenomena pasang surut.

Berbeza dengan kawah laut

Beliau berkata keadaan itu berbeza dengan kawah laut atau ‘Seabed Crater’ yang terhasil disebabkan oleh pelbagai proses termasuk impak dari angkasa, aktiviti gunung berapi, runtuhan dan aliran lumpur dasar laut.

“Dasar laut dalam boleh terjadi di mana-mana kawasan apabila wujudnya beting pasir iaitu pasir atau sedimen yang terbenam atau separa terdedah dibentuk oleh ombak serta arus berhampiran pantai.

“Formasi beting pasir juga berbeza daripada segi saiz iaitu hanya beberapa sentimeter hingga struktur setinggi enam meter. Ia banyak terbentuk ketika hakisan pantai dan membawa pasir ke dalam laut sehingga terjadinya beting pasir ribut.

“Beting pasir ini boleh kelihatan di kawasan pecahnya ombak iaitu berdekatan garisan pantai. Namun, di Pantai Batu Buruk terdapat kawasan yang ada beting pasir terbentuk dan juga yang tidak mempunyai beting pasir iaitu kawasan lebih dalam,” katanya.

Keliru antara dasar laut dalam dan kawah laut

Effi berkata keadaan itu menyebabkan berlaku kekeliruan antara kawasan dasar laut yang dalam dengan kawah laut.

Dalam pada itu, dia juga tidak menafikan kawah laut boleh terbentuk oleh pusaran arus air yang kuat tetapi fenomena itu jarang berlaku di Malaysia kerana suhu air laut dan udara adalah tidak terlalu berbeza yang boleh membentuk pusaran seperti puting beliung di darat.

Menurutnya lagi, kawasan dasar laut yang dalam boleh dilihat dengan jelas ketika air surut dari pandangan atas. Katanya lagi, keadaan dasar laut akan kembali kepada bentuk asal selepas tamatnya musim tengkujuh iaitu apabila air laut mulai tenang,” katanya.