Infomina catat untung selepas cukai RM8.13 juta bagi suku pertama FY2025

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2025 • 6:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Infomina catat untung selepas cukai RM8.13 juta bagi suku pertama FY2025

image is not available

14/10/2025 - 18:26

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Okt - Infomina Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM8.13 juta bagi suku pertama berakhir 31 Ogos 2025, sedikit meningkat berbanding RM8.02 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu, disokong oleh peningkatan hasil dan pengurusan kos yang berdisiplin.

Dalam pemakluman di Bursa Malaysia, syarikat penyedia perkhidmatan teknologi maklumat itu merekodkan pendapatan RM54.63 juta, meningkat 18.3 peratus daripada RM46.18 juta tahun sebelumnya. Keuntungan kasar turut naik kepada RM14.91 juta berbanding RM14.44 juta sebelum ini.

Dalam laporan kewangan suku pertama yang belum diaudit, Infomina berkata prestasi positif itu didorong oleh projek penyelenggaraan dan perkhidmatan berulang di pasaran serantau, termasuk daripada pelanggan utama dalam sektor kewangan dan kerajaan.

“Pertumbuhan sederhana ini menggambarkan ketahanan model perniagaan kami walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

"Kami akan terus memberi tumpuan kepada inovasi dan pengembangan pasaran di Asia Tenggara,” kata Infomina dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku berkenaan meningkat kepada RM9.91 juta, berbanding RM9.64 juta pada suku sama tahun lalu, manakala pendapatan lain melonjak lebih dua kali ganda kepada RM546,000.

Syarikat turut mencatatkan pendapatan komprehensif keseluruhan sebanyak RM4.82 juta selepas mengambil kira kesan terjemahan operasi luar negara.

Bagi tempoh yang sama, pendapatan faedah meningkat kepada RM362,000 berbanding RM119,000 sebelumnya, manakala kos faedah berkurangan kepada RM91,000 daripada RM252,000.

Infomina berkata ia kekal optimis terhadap prospek tahun kewangan semasa dengan menekankan pelaburan berterusan dalam keupayaan digital serta kerjasama strategik dengan penyedia teknologi global bagi memperkukuh kedudukannya di rantau ini. - DagangNews.com

standard

View Original Article