Infomina lancar AiMod, platform AI kendiri pertama buatan Malaysia

LocalTechnology
6 Aug 2025 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Infomina lancar AiMod, platform AI kendiri pertama buatan Malaysia

image is not available

06/08/2025 - 17:20

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Infomina Berhad melancarkan AiMod, platform AI kendiri pertama buatan Malaysia yang boleh disesuaikan sepenuhnya untuk pelbagai sektor, selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menjadikan negara ini sebagai kuasa ekonomi berpaksikan AI.

Dibangunkan dengan teknologi terkini, AiMod (singkatan kepada “AI Modular”) membolehkan organisasi membina dan melatih ejen AI yang mampu membuat keputusan secara berdikari, menyesuaikan tingkah laku mengikut situasi, serta berinteraksi secara semula jadi dengan pengguna dan sistem sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Infomina, Yee Chee Meng berkata, pelancaran AiMod membuktikan keupayaan syarikat tempatan dalam membangunkan teknologi AI kelas dunia yang berdaya saing di peringkat serantau.

“Kami bangga kerana AiMod direka, dibangunkan dan diuji sepenuhnya di Malaysia, menjadikannya produk AI buatan tempatan yang pertama seumpamanya.

“Ia mampu disesuaikan untuk keperluan sektor seperti kewangan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan kerajaan dan logistik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Platform tersebut turut menyokong pelbagai keupayaan seperti pemprosesan bahasa semula jadi, pembuatan keputusan autonomi dan integrasi sistem secara mendalam yang membolehkan pengguna menggabungkan teknologi AI ke dalam operasi sedia ada tanpa gangguan besar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz berkata, pembangunan teknologi seperti AiMod sejajar dengan misi negara untuk menjadi hab serantau AI, selain memperkukuh ekosistem inovasi digital tempatan.

“Apa yang dilakukan Infomina merupakan bukti kemampuan syarikat Malaysia bersaing di peringkat global. Kami amat menyokong pembangunan teknologi buatan tempatan yang selamat, boleh diskala dan mampu meningkatkan kecekapan pelbagai industri,” katanya.

Dalam pelancarannya, AiMod menerima sambutan menggalakkan daripada pelbagai sektor, termasuk institusi kewangan dan agensi kerajaan, yang melihat teknologi ini sebagai pemangkin kepada automasi pintar, kecekapan kos dan pecutan transformasi digital.

AiMod juga direka untuk mematuhi keperluan keselamatan dan tadbir urus teknologi AI, sejajar dengan aspirasi Dasar AI Negara 2021 serta Kerangka Tadbir Urus AI oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Infomina menyasarkan untuk memperluas penggunaan AiMod ke pasaran serantau dalam tempoh 12 bulan akan datang, termasuk di Thailand, Filipina dan Indonesia, di mana syarikat itu telah menubuhkan operasi dan rangkaian pelanggan strategik. - DagangNews.com

standard