
Kota Kinabalu: Institut Kemajuan Desa (Infra) menjadi platform penting dalam memacu komuniti luar bandar agar lebih berdaya saing serta berkeupayaan membangunkan komuniti secara progresif, mampan dan inklusif.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata penduduk luar bandar khususnya wanita memainkan peranan dan tanggungjawab penting dalam menggerakan pembangunan komuniti masing-masing.
“Oleh itu seminar kepimpinan wanita luar bandar yang berlangsung selama tiga hari ini bertujuan memberi kesedaran, maklumat serta perkongsian idea dan pengalaman kepada wanita luar bandar untuk melahirkan barisan pemimpin berkapasiti tinggi. “Berkapasiti bermaksud dalam usaha memastikan luar bandar dibangunkan dengan lebih progresif, mampan dan inklusif,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutupan Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar pada Khamis. Beliau menjelaskan seminar berkenaan turut memberi pendedahan terhadap aspek pembentukan karakter kepimpinan melalui sesi grooming serta membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi wanita dalam memimpin masyarakat luar bandar. Dalam pada itu Rubiah menyatakan Infra kini diberi nafas baharu dengan pendekatan latihan lebih kreatif bagi memastikan impak mendalam selaras dengan dasar pembangunan luar bandar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang meletakkan wanita sebagai antara 10 teras utama.
Menurutnya peranan wanita amat signifikan dalam memperkukuh struktur sosial dan ekonomi komuniti desa.
“Justeru Infra memperkenalkan pendekatan interaktif termasuk pembangunan karakter, pendedahan isu kesihatan, pengurusan rumah tangga serta integriti kepimpinan dengan kerjasama agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kursus ini memberi pengalaman baharu kepada pemimpin luar bandar terutamanya mengenai peranan wanita serta isu berkaitan kesihatan dan rumah tangga.
“SPRM juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh institusi kepimpinan luar bandar kerana ia bukan sekadar berkait dengan kewangan tetapi turut melibatkan kuasa dan kapasiti pemimpin di pelbagai peringkat agar ia dapat diurus dengan lebih baik,” jelasnya.




