Infrastruktur Lebih Baik Jika Kelantan ditadbir Kerajaan Perpaduan

Politics
30 Jul 2023 • 6:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sebahagian ahli dan jentera parti hadir sempena majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Komponen Kerajaan Perpaduan di Pejabat UMNO Kelantan baru-baru ini. gambar BERNAMA

GUA MUSANG -- Penyediaan pembangunan prasarana dan infrastruktur asas yang lebih baik adalah antara agenda utama Barisan Nasional (BN) untuk Kelantan sekiranya rakyat negeri itu memberi mandat kepada Kerajaan Perpaduan mentadbir Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata perubahan kepimpinan kerajaan Kelantan perlu dilakukan kerana pembangunan infrastruktur lebih mudah dilaksanakan jika kerajaan negeri sealiran dengan kerajaan Pusat.

“Kita tahu Kelantan masih memerlukan banyak pembangunan yang diperlukan daripada (kerajaan) Pusat khususnya bekalan air dan tebatan banjir,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jentera BN di Bukit Cekati, di sini hari ini. 

Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata jalan raya adalah kemudahan asas yang sangat penting untuk Kelantan dan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang sedang dibangunkan kerajaan Pusat akan membawa manfaat besar kepada negeri itu apabila ia siap kelak.

Mengenai kehadirannya di Gua Musang, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kuala Lipis, Pahang berkata beliau diamanahkan sebagai ‘bapa angkat’ kawasan Parlimen Gua Musang dan akan membantu kempen tiga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) dari BN di kawasan Palimen itu pada PRN kali ini.

Ketiga-tiga calon berkenaan ialah Ab Aziz Yusoff bagi DUN Nenggiri, Amran Arifin (Paloh) serta Mohd Syahbuddin Hashim (Galas), dan ketiga-tiganya adalah penyandang kawasan masing-masing. -- BERNAMA