'Ingat matlamat, perjuangan asal DAP' - Anthony

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 4:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Ingat matlamat, perjuangan asal DAP' - Anthony
Anthony menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Ahad. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perwakilan DAP perlu mengambil kira matlamat parti yang jauh lebih besar berbanding keinginan memegang jawatan dalam kerajaan apabila membuat keputusan untuk kekal atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan, walaupun keputusan yang perlu dibuat oleh perwakilan dilihat besar dan 'sukar', kesemuanya mesti terus berpegang teguh pada ideal perjuangan yang menjadi asas penubuhan parti.

“Matlamat kita bukan sekadar duduk dalam kerajaan sebagai menteri, timbalan menteri atau memegang jawatan-jawatan penting yang lain.

"Apa yang lebih penting adalah perjuangan dan peranan kita dalam membantu menyumbang ke arah pembinaan sebuah negara yang lebih baik,” katanya.

Menteri Pengangkutan itu berkata demikian semasa Persidangan DAP Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Ahad.

Anthony menambah, pihaknya tidak membuat apa-apa rayuan khusus supaya perwakilan mengundi DAP terus kekal dalam kerajaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui sebagai sebuah parti dalam kerajaan gabungan, terdapat kekangan dan kelemahan yang terpaksa ditanggung DAP.

Jelasnya lagi, kesannya menyumbang kepada kritikan bahkan undi protes terhadap parti berkenaan dalam beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

Sementara itu, Anthony memaklumkan sekiranya DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan hasil daripada undian majoriti perwakilan parti, ia bukan satu cek kosong kepada CEC mahupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, menurut beliau, komitmen untuk membawa reformasi dalam mendapatkan semula keyakinan dan sokongan rakyat adalah prasyarat paling utama.

"Kalau perwakilan pilih untuk DAP kekal dalam kerajaan, kita janji laksana reformasi sementara masih berada dalam kerajaan.

"Kalau ada yang tanya, pembaharuan yang macam mana? Ini bukan reformasi baharu, tapi yang kita selalu laung selama ini.

"Kita akan pastikan kerajaan di bawah pimpinan Anwar penuhi segala janji ini," ujarnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved