Ingatkan Sakit Perut Biasa, Wanita Terkejut Dapati Dirinya Bakal Bersalin Walau Tiada Simptom Hamil

Family & Parenting
27 Oct 2022 • 4:28 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Ingatkan Sakit Perut Biasa, Wanita Terkejut Dapati Dirinya Bakal Bersalin Walau Tiada Simptom Hamil

Seorang suri rumah terkejut selepas selamat melahirkan seorang bayi perempuan secara tiba-tiba walaupun tiada simptom kehamilan, mempunyai kitaran haid yang normal setiap bulan dan mengambil pil perancang, lapor Sinar Harian.

Suri rumah yang bernama Nur Atiqah Mustafa, 24 tahun berkata bahawa dia tidak mengalami sebarang tanda-tanda sedang hamil seperti kandungan pertamanya dahulu.

Umur bayi sulungnya yang baru sahaja berusia setahun dua bulan itu juga turut menjadi faktor dia sama sekali tidak mengesyaki dirinya sedang hamil lagi.

“Memang tiada sebarang simptom seperti saya hamil anak pertama dulu. Masa anak pertama, adakalanya berasa loya, hilang selera makan malah fizikal saya seperti muka dan badan juga ‘kembang’ serta perut nampak besar.

“Tetapi kali ini langsung tiada tanda malah tiada juga alahan. Semuanya macam biasa dan saya sendiri pun tidak tahu hamil kerana kitaran haid seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya.

Nur Atiqah berkata, dia telah pun mengamalkan pengambilan pil perancang yang dibeli dari sebuah farmasi berdekatan kediamannya di Bintong untuk merancang kehamilannya.

Sakit perut yang dialaminya pada malam 18 Oktober lalu bukanlah sakit biasa, kata Nur Atiqah ketika menceritakan berkenaan proses proses kelahiran ‘bayi ajaib’ yang diberi nama Raiqa Hanania itu.

image is not available
Kredit Sinar Harian

“Apabila sakit perut dialami berlarutan pada pagi itu, saya ajak suami ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Belum sempat ke hospital, saya telah melahirkan anak di atas sofa selepas tiga kali meneran.

“Suami yang segera melihat keadaan selepas terdengar jeritan saya terkejut apabila ternampak kepala bayi dan terpaksa menjadi bidan terjun menyambut kelahiran anak kedua kami. Saya kemudian meminta suami untuk menghubungi pihak ambulans untuk ke hospital selepas selamat melahirkan anak itu,” ceritanya lagi.

Menurutnya lagi, bayi perempuan yang dilahirkan sekitar jam 8.45 pagi itu mempunyai berat 3.7 kilogram dan disahkan sihat serta normal oleh doktor yang merawatnya.

Nur Atiqah yang telah berkahwin dengan Amirul Azizan selama tiga tahun berasa gembira dengan kelahiran bayi perempuannya walaupun tiada sebarang persiapan dibuat untuk menyambut kelahiran bayi baharu mereka itu.

Sumber: Sinar Harian