
Ini 10 Perkara Dikemukakan Iran Kepada AS Untuk Tamatkan Perang
Konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) nampaknya semakin tiba ke garisan penamat apabila kedua-duanya bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu.
Iran pada awal Rabu memaklumkan bahawa AS 'secara prinsip' telah menerima cadangan 10 perkara dikemukakannya untuk menamatkan perang.
Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) melaporkan bahawa Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran dalam satu kenyataan berkata cadangan tersebut akan menjadi rangka kerja rundingan bagi memuktamadkan perjanjian yang lebih menyeluruh, namun tidak mendedahkan semua butiran pelan itu secara terbuka.

Cadangan itu merangkumi 10 perkara iaitu:
Jaminan tiada pencerobohan terhadap Iran.
Kawalan berterusan Iran ke atas Selat Hormuz.
Pengiktirafan hak Tehran untuk menjalankan pengayaan uranium.
Pemansuhan semua sekatan utama dan sekunder AS.
Penamatan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Iran.
Penamatan resolusi Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) terhadap Iran.
Pembayaran pampasan.
Pengunduran pasukan tempur AS dari rantau berkenaan.
Penamatan permusuhan di semua medan termasuk di Lubnan.
Pembebasan aset Iran yang dibekukan.
Pun begitu, Iran menegaskan bahawa rundingan tersebut tidak bermaksud perang telah berakhir. Sebarang perjanjian akhir bergantung kepada jaminan syarat-syarat Iran serta pemuktamadan butiran lanjut.
Rundingan tersebut dijadualkan bermula pada Jumaat di Islamabad di bawah pengantaraan Pakistan dan akan berlangsung sehingga dua minggu. Ada kemungkinan tempoh tersebut akan dilanjutkan melalui persetujuan bersama.
Terdahulu, Presiden AS Donald Trump, berkata Washington akan menggantung serangan ke atas Iran selama dua minggu. Beliau juga menyifatkan cadangan Tehran sebagai asas yang boleh dilaksanakan untuk rundingan.
Baca juga:“Tertakluk kepada Republik Islam Iran untuk bersetuju membuka Selat Hormuz sepenuhnya, serta-merta dan selamat, saya bersetuju untuk menghentikan pengeboman dan serangan terhadap Iran selama dua minggu," tulis beliau dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform Truth Social.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengesahkan bahawa laluan selamat melalui Selat Hormuz akan dibenarkan selama dua minggu.
“Jika serangan terhadap Iran dihentikan, Angkatan Tentera kami yang berkuasa akan menghentikan operasi pertahanan mereka," katanya.

