
Data diperoleh daripada statistik terbuka Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)
Tahukah anda, terdapat pelbagai statistik yang boleh dirujuk oleh orang awam menerusi portal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Salah satu data yang menarik untuk dilihat secara lebih teliti adalah data jenayah seksual di Malaysia untuk tahun 2023.
Sekali pandang, macam tinggi betul graf ni kan? Tapi bila dihadam betul-betul, ada beberapa benda yang agak mind-blowing dan buat kita tertanya-tanya. Menerusi laman X, seorang pengguna yang sering berkongsi analisis data terbuka, Thevesh (@Thevesh) mengemukakan analisisnya dan mendapati terdapat beberapa perkara mengejutkan dapat dikesan melalui statisik ini.

Ini adalah 4 perkara penting (dan agak mengejutkan) yang anda patut tahu pasal isu serius ni.
1. Lain Negeri, Lain Jenis Kes Yang Tinggi – Kes Bandar vs Luar Bandar Sangat Ketara
- Kes rogol (rape) dan sumbang mahram (incest) nampak lebih tinggi kadarnya per 100k penduduk di negeri macam Perlis, Kedah, Pahang, Terengganu, Sabah. Kes sebegini nampak seperti lebih banyak berlaku di kawasan luar bandar.
- Tapi…Untuk kes cabul (molestation) dan gangguan seksual (sexual harassment), negeri-negeri yang tinggi populasi bandar pula yang berada di atas carta: KL/Putrajaya, Melaka, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor.
- Persoalannya: Adakah ini bermakna nature jenayah tu memang berbeza ikut tempat? Atau adakah orang di bandar lebih aware tentang apa itu gangguan seksual/cabul dan lebih berani untuk buat aduan? Jadi, tak boleh nak pukul rata semua negeri sama.
2. Kes Rogol & Sumbang Mahram: Hampir SEMUA Mangsa Adalah Kanak-Kanak
- Fakta Mengejutkan: Bila data dipecahkan mengikut umur mangsa, confirm terkejut. Statistik menunjukkan bahawa untuk kes rogol dan sumbang mahram, majoriti besar mangsa adalah mereka yang berumur bawah 18 tahun. Ya, kanak-kanak.
- Implikasi: Kadar kes untuk kategori ini hampir sama apabila melihat kepada data keseluruhan vs data mangsa bawah 18 tahun. Ini menunjukkan fokus utama jenayah ni memang pada kanak-kanak. Serius menakutkan. Jadi, sila pantau anak-anak anda, terutamanya yang masih berada di usia kecil dan mudah terpengaruh.
3. Kes Cabul & Gangguan Seksual: Mangsa Kebanyakannya Orang Dewasa
- Berbeza dengan rogol/sumbang mahram, data menunjukkan kes cabul dan gangguan seksual ini majoriti besar mangsanya adalah orang dewasa.
- Melihat kepada data keseluruhan, KL, Putrajaya dan Pulau Pinang, tiga negeri ini mencatatkan kadar kes cabul (molestation) antara 3 teratas. Tapi bila tengok data untuk mangsa bawah 18 tahun, tiada kes yang dicatatkan.
- Kenapa Agaknya? Berkemungkinan sebab banyak kes cabul/gangguan seksual ini terjadi di tempat kerja atau persekitaran dewasa lain. Meskipun ini hanya spekulasi, namun data menunjukkan corak yang jelas berbeza mengikut jenis jenayah.
4. Rogol atau Sumbang Mahram Didakwa ‘Suka Sama Suka’ Tapi…
- Bila sebut tentang kes sumbang mahram, terdapat segelintir individu yang mendakwa bahawa kes rogol/sumbang mahram ni kononnya terjadi kerana banyak alasan ‘suka sama suka’.
- Dapatan data pula menunjukkan mangsa majoriti bawah 18 tahun. Meskipun kelihatan seperti ‘suka sama suka’ kerana tiada rekod penolakan atau pergelutan, namun dari segi undang-undang, mangsa bawah umur memang tak boleh beri persetujuan (consent).
- Isu terbesar di sini adalah apabila data ini TAK MEMBERITAHU berapa umur pemangsa. Konteksnya dilihat sangat berbeza sekiranya kes tersebut berlaku di antara remaja 16 tahun dengan remaja 18 tahun, BERBANDING remaja 16 tahun dengan dewasa berumur 40 tahun.
- Satu lagi persoalan: Apakah hubungan antara mangsa dengan pemangsa tu? Ada unsur grooming ke? Dua faktor ini adalah poin yang sangat kritikal untuk menentukan tahap jenayah, namun tidak diserlahkan dalam data ini.

Data perlu disusun lebih baik dan direkodkan dengan lebih teliti
Walaupun data ini telah beri pencerahan yang menarik, ia masih sangat terhad. Akibatnya, sukar untuk membuat kesimpulan yang betul-betul kukuh atau merancang pencegahan yang efektif tanpa tahu maklumat penting seperti umur pemangsa dan hubungan pemangsa dengan mangsa.
Dalam hantaran X yang sama, Thevesh turut menyeru pihak bertanggungjawab, terutamanya Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM @StatsMalaysia) dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM – dibawah YB Dato’ Sri Nancy Shukri) untuk meningkatkan kualiti data jenayah dengan:
- Menerbitkan Data Mentah (Raw Data): Data sebegini perlu diterbitkan dalam format transaksi mentah berbanding data yang telah diringkaskan daripada setiap negeri.
- Menambah Info Kritikal Pemangsa & Mangsa: Data ini juga wajib ada maklumat seperti:
- Umur, jantina, dan bangsa pemangsa.
- Umur, jantina, dan bangsa mangsa.
- Hubungan antara pemangsa dan mangsa (Ahli keluarga? Kawan? Kenalan online? Orang tak dikenali langsung? Ada unsur grooming?) bagi mengetahui sejauh manakah tahap jenayah yang dilakukan, motif dan sebagainya.
- Lokasi yang Lebih Spesifik: Maklumat di balai polis (PDRM) mana laporan dibuat. Maklumat tentang negeri sahaja memang tidak cukup mendalam untuk isu seperti ini. Data harus menunjukkan kawasan mana sebenarnya kes banyak berlaku.
- Tempoh Masa Kejadian & Laporan: Berapa lama masa berlalu antara insiden berlaku dengan laporan polis dibuat? Ini boleh bantu memahami mengapa mangsa mungkin lambat buat laporan.
Kenapa Data yang Lengkap Penting?
Memang betul, data dan nombor takkan dapat gambarkan betapa perit dan ngerinya pengalaman mangsa jenayah seksual ni. Tapi, dengan data yang lebih berkualiti, lengkap, dan telus, barulah kita boleh:
- Memahami akar umbi masalah dengan lebih jelas.
- Mengenal pasti golongan mana paling berisiko (jadi mangsa atau pemangsa).
- Merancang langkah pencegahan dan program bantuan yang betul-betul kena pada sasaran.
- Menilai keberkesanan tindakan yang dah diambil.
Harapnya seruan ni sampai ke pihak berkenaan. Isu ni terlalu serius untuk kita pandang ringan atau hanya bergantung pada data yang tak lengkap. Harapnya data seperti ini membuatkan kita lebih peka dan mungkin pihak berkuasa pun boleh mengumpul data yang lebih mendalam selepas ni. Kekal selamat dan stay informed, semua!
Ini pula kisah penjenayah pedofilia paling dikehendaki di dunia yang akhirnya ditangkap di Lundu:




