Ini 5 Perkara Besar Yang Berlaku Di Sarawak Pada 22 Julai 1963

21 Jul 2022 • 10:05 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Sejarah ringkas yang wajib anak Sarawak ketahui.

Ini 5 Perkara Besar Yang Berlaku Di Sarawak Pada 22 Julai 1963. Hari Sarawak merupakan hari kelepasan am bagi penduduk di Bumi Kenyalang sejak tahun 2016. Hal ini adalah bagi memperingati tarikh di mana Sarawak akhirnya diberi mandat untuk mentadbir sendiri wilayah yang tercinta ini.

Meskipun masih belum mencapai kemerdekaan penuh, namun terdapat 5 perkara penting yang berlaku pada tarikh tersebut yang pastinya sebuah memori yang bersejarah dan wajib untuk diketahui oleh setiap anak Sarawak.

image is not available
Ini 5 Perkara Besar Yang Berlaku Di Sarawak Pada 22 Julai 1963. Keratan akhbar Berita Harian dan New Straits Times berkaitan hari 22 Julai 1963 di Sarawak.

1. Pewartaan Majlis Tinggi Baharu oleh Gabenor, Sir Alexander Waddell

Hari bersejarah 22 Julai 1963 dimulakan dengan Sir Alexander Waddell atau nama sebenarnya, Sir Alexander Nicol Anton Waddell telah mewartakan Majlis Tinggi Baharu di Sarawak.

Pewartaan ini adalah sebagai simbolik di mana pemerintahan kolonial mula membenarkan Sarawak pada masa itu ‘bertatih’ untuk berkerajaan sendiri.

2. Pelantikan Ketua Menteri Sarawak yang Pertama

Susulan pewartaan Majlis Tinggi Baharu itu, ketua menteri yang pertama untuk Sarawak juga telah dilantik iaitu Datuk Stephen Kalong Ningkan. Beliau juga merupakan Pengerusi Sarawak National Party (SNAP) pada ketika itu.

image is not available
Datuk Stephen Kalong Ningkan, Ketua Menteri Sarawak yang pertama.

3. Pembentukan Jawatankuasa Tertinggi atau Kabinet Negeri

Dengan pelantikan Ketua Menteri Sarawak yang pertama ini, beberapa individu penting yang turut dilantik untuk membantu Stephen pada ketika itu adalah seperti Abdul Taib Mahmud yang merupakan seorang peguam, James Wong Kim Ming (kaunselor Limbang), Awang Hipni Pengiran Anu (kaunselor Matu), Dustan Endawie Anak Enchana (kaunselor Limbang), dan Teo Kui Seng (taikun industri perkapalan di Sarawak).

Mesyuarat kabinet pertama Sarawak yang dipengerusikan oleh Datuk Stephen Kalong Ningkan turut diadakan pada hari bersejarah ini.

image is not available
Dari kiri:

4. Gabenor menyeberangi Sungai Sarawak untuk menyerahkan pentadbiran kepada rakyat tempatan

Gabenor Sir Alexander juga pada hari ini menyeberangi Sungai Sarawak sebagai tanda menyerahkan pemerintahan Sarawak kembali kepada pangkuan rakyat tempatan sendiri.

Semasa upacara tersebut, Sir Alexander keluar dari Astana dan menaiki sampan untuk menyeberangi Sungai Sarawak bagi menyantuni rakyat Sarawak yang menyambut ketibaannya di seberang.

5. Bendera Union Jack diturunkan

Pada hari ini juga, bendera Great Britain yang diberi jolokan Union Jack diturunkan buat kali terakhir daripada tiang-tiang bendera di Sarawak.

Walau bagaimanapun, Gabenor Sarawak masih belum dilantik pada ketika ini sehinggalah 13 September 1963, di mana rakyat Sarawak pertama yang dilantik menjadi Gabenor Sarawak adalah Tun Abang Haji Openg Abang Sapi’ee.

image is not available
Salam terakhir antara Sir Alexander dan Tun Abang Haji Openg semasa Gabenor British itu meninggalkan Sarawak pada tengah hari 15 September 1963. Sumber: BHarian

Persediaan Sarawak ke arah kemerdekaan

Tarikh keramat 22 Julai 1963 ini adalah tarikh di mana rakyat Sarawak sendiri diberi kepercayaan oleh pemerintahan kolonial untuk mentadbir sendiri sebagai persediaan ke arah kemerdekaan.

Gabenor British iaitu Sir Alexander Waddell juga masih memegang jawatan tersebut dan kuasa penuh ke atas Sarawak masih dipegang oleh beliau berserta Ratu Elizabeth di London sehinggalah 16 September 1963.

Baca juga kisah pahlawan Sarawak yang berani menentang musuh dan perlu anda kenali: