
Dijamin sedap sehingga menjilat jari
Ini 5 Senarai Gerai Ayam Panggang Lejen Di Kuching. Ayam panggang merupakan hidangan protein ringkas yang kebiasaannya dimakan sewaktu berkumpul bersama keluarga mahupun sahabat handai. Rasa barbeku yang dibakar menggunakan ketulan arang kayu, pasti membangkitkan selera sesiapa sahaja yang menghidu bau ayam yang sedang dipanggang.
Selain daripada keenakan ayam panggang mereka yang ‘juicy’ dan empuk, gerai ini juga sudah menjalankan perniagaan ayam panggang sejak belasan hingga puluhan tahun. Malah, ada yang telah mewariskan perniagaan mereka kepada generasi seterusnya untuk terus memberikan hidangan ayam panggang yang terbaik buat pelanggan setia mereka.
Jadi, dalam artikel kali ini, kami senaraikan 5 gerai ayam panggang boleh dikira lejen, dan terkenal dalam kalangan penduduk lokal Kuching sendiri.
1. Ayam Panggang Lejen Wak Rashid
Terletak di pusat Bandaraya Kuching, Ayam Panggang Lejen Wak Rashid benar-benar sepadan dengan namanya. Ayam yang dipanggang dengan sempurna, menyerlahkan rasa yang seimbang dengan keenakan rempah perapan.

Ayamnya ‘juicy’ dan lembut, bakal membuatkan anda menikmati ayam ini sehingga ke cebisan terakhir! Suasana mesra dan servis pantas menjadikannya tempat wajib dilawati oleh penduduk tempatan dan pelancong yang menginginkan ayam panggang enak di Kuching.

58, Jalan Rubber Barat, How Hua Park, 93400 Kuching, Sarawak
Dibuka setiap hari kecuali Rabu, 4 petang hingga 10 malam
2. Boy Manok Malaysia
Boy Manok Malaysia pula membawa sentuhan kontemporari kepada hidangan ayam panggang tradisional. Dihasilkan menerusi resipi turun temurun sejak tahun 1990, sorotan utamanya adalah pada kuah ayam panggang itu sendiri.

Selain daripada rasa ‘char’ yang menggamit deria, ayam panggang Boy Manok ini terasa lebih lazat jika dicalit bersama kuah hitam manis yang datang bersama ayam panggang itu sendiri. Selain itu, ayam panggang ini juga boleh dimakan bersama sos cili yang diolah khas. Tidak lupa, gerai ini juga hadir dengan ‘branding’ serba merah dan mudah diingati!

Cawangan Semariang:
- Mydin Bandar Baru Semariang, Jalan Sultan Tengah, 93050 Kuching, Sarawak
Cawangan Kota Sentosa (Batu 7):
- Zainab Family Food Court, No 82, Lot 1703, Block 46 KNLD Sentosa Parade, Batu 7, Jalan Penrissen Batu 7 Sentosa Parade, Jalan Penrissen, Kota Sentosa, 93250 Kuching, Sarawak
Cawangan Lain
- Jalan Astana (sebelah Pawada) *kedai asal sejak 1990
- Jum Singgah Cafe, Jalan Sultan Tengah
- Najwa Cafe ( Taman Sukma)
- De Tamu Cafe, Satok
Cawangan Semariang:
Dibuka setiap hari kecuali Isnin, 3 petang hingga 11 malam
Cawangan Kota Sentosa:
Dibuka setiap hari, 2 petang hingga 10 malam
Cawangan Semariang
Cawangan Kota Sentosa
3. Ayam Panggang Madu Wak Kafe
Ayam Panggang Madu Wak Kafe pula boleh dikatakan sebagai ‘hidden gem’ di Kuching meskipun ia berada di tengah bandaraya. Terletak di Jalan Satok, kedai ini difahamkan telah beroperasi selama berpuluh tahun dan kini diteruskan oleh anak pemiliknya.

Ayam lembut dengan perapan manis mencipta sensasi rasa karamel yang sangat memuaskan. Bagi pencinta ayam panggang manis, gerai ini pastinya pilihan yang tepat, selain anda boleh menikmati suasana santai open-air sambil ‘mengkokak’ ayam panggang madu Wak ini.

Ayam Panggang Madu Wak Kafe, Lorong 9, Jalan Satok, 93400 Kuching, Sarawak
Buka setiap hari, 3 petang hingga 11.30 malam
4. Ayam Panggang Berempah Mose
Ayam Panggang Berempah Mose ini pasti sesuatu yang sesuai bagi mereka yang lebih sukakan rasa autentik ayam panggang. Dilumur dengan resepi rahsia berasaskan rempah wangi, aroma yang dihasilkan pasti menggoda sesiapa sahaja walaupun dari jarak jauh.

Teknik panggang yang serba moden oleh staf yang mahir memastikan lapisan panggang dengan rasa bakar yang sempurna di luar di samping mengekalkan kelembutan isi ayam di dalamnya. Lagi syok bila anda dapat makan ayam panggang sambil menikmati pemandangan menenangkan di pinggir sungai dan Jambatan Gantung Satok yang nostalgik kerana gerai ini terletak di Kompleks Kubah Ria.

Pusat Penjaja Makanan Kompleks Kubah Ria, 25, Q309, Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak
Buka setiap hari, 1 tengah hari sehingga habis
5. Ayam Panggang Berempah Anwar @ Kedey Cikgu Dauz
Ayam Panggang Berempah Anwar @ Kedey Cikgu Dauz pula mengetengahkan inovasi dalam perniagaan ayam panggang. Selain menawarkan ayam panggang, mereka juga turut menawarkan menu ayam bersama nasi. Lokasinya berada sedikit jauh dari pusat bandaraya, namun pastinya penduduk sekitar tidak perlu pergi jauh untuk merasai ayam panggang yang sama hebat seperti di pusat bandar.

Pendekatan unik gerai ini kepada Ayam Panggang telah menarik pengikut yang setia, dan sangat mudah dilihat mengapa – rasanya benar-benar luar biasa selain memiliki menu tambahan yang berbaloi dan mengenyangkan.

Kedey Cikgu Dauz, Lorong Liu Shan Bang 3B, Kota Sentosa @ Batu 7, 93250 Kuching, Sarawak
Buka setiap hari kecuali Khamis, jam 3 petang – 10 malam
Sekiranya anda tidak berkesempatan untuk mengunjungi gerai ini secara fizikal, anda juga boleh membuat pesanan makanan menerusi aplikasi seperti GrabFood dan Foodpanda.
Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan sesiapa sahaja agar anda dapat membantu peniaga kecil gerai ayam panggang di Kuching ini!
