Ini 7 Perkara Perlu Dilakukan Ibu Bapa Jika Anak Kena Serangan Sawan

Health & FitnessFamily & Parenting
24 Oct 2024 • 4:58 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Kanak-kanak yang sedang membesar mempunyai sistem imunisasi yang sedikit lemah berbanding orang dewasa.

Oleh itu, mereka juga mudah terdedah kepada virus atau penyakit seperti demam dan sebagainya. Namun perkara yang menjadi mimpi ngeri bagi ibu bapa adalah apabila anak diserang sawan.

Malah terdapat juga ibu bapa yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan oleh mereka apabila berdepan dengan situasi mencemaskan itu. Ada yang memasukkan barangan ke dalam mulut, ada yang segera membawa ke klinik atau hospital serta banyak lagi.

Baru-baru ini, pengamal perubatan yang terkenal di media sosial iaitu Doktor Ahmad Samhan Awang telah berkongsi beberapa perkara boleh dilakukan ibu bapa jika berdepan dengan situasi anak sawan.

#1 Jangan panik

Tak dinafikan kita akan memberikan reaksi panik apabila berdepan dengan situasi yang mencemaskan. Namun dalam situasi ini, anda dinasihatkan untuk cuba menenangkan diri dan tidak panik.

Apa yang penting adalah jauhkan si kecil dari sebarang perkara berbahaya seperti gunting, air panas, peralatan yang boleh mengancam bahaya dan sebagainya.

#2 Pusingkan badan

Sebaik menjauhi mereka daripada peralatan yang bahaya, pusingkan badan si kecil dalam keadaan mengiring.

Pastikan mereka dalam keadaan mengiring sehinga sawan selesai. Tujuan meletakkan mereka dalam keadaan tersebut adalah untuk mengelak bayi atau kanak-kanak daripada ‘tersedak’ seperti cairan susu atau muntah dari perut masuk ke saluran pernafasan.

Lap cecair yang keluar dari mulut.

#3 Jangan halang pergerakan

Anda juga dinasihatkan untuk tidak menghalang pergerakan kaki serta tangan anak sewaktu mereka terkena sawan.

Sebaiknya pegang dengan lembut agar mereka kekal dalam posisi mengiring. Jangan sesekali mengoncang badan mereka.

#4 Elak letakkan barangan dalam mulut, rekod tempoh & pattern

Ada segelintir yang membuat tindakan seperti meletakkan barang contohnya sudu ke dalam mulut.

Tindakan ini sebenarnya boleh mengundang bahaya, dan disarankan untuk mengelak dari meletakkan sebarang benda ke dalam mulut si kecil.

Sebaiknya anda merekod tempoh dan ‘pattern sewaktu anak terkena serangan sawan.

#5 Minta bantuan

Sekiranya berlaku keadaan seperti ini adalah baik jika anda meminta bantuan dari orang terdekat.

Selain itu, longgarkan atau buka pakaian anak sehingga tinggal lampin sewaktu serangan berlaku.

#6 Tuala & air suam

Rendamkan tuala dalam air suam dan lapkan di seluruh anggota badan si kecil. Biarkan sehingga air suam itu kering sendiri.

Pastikan anda menggunakan air suam kerana ia dapat membantu mengembangkan salur darah di kulit untuk lebihan haba keluar ke kulit.

Perkara ini akan menyebabkan haba dari badan keluar dengan berkesan untuk menurunkan suhu demam.

Selain itu buka kipas kerana ini boleh membantu air tersejat ke udara dengan lebih cepat.

#7 Bawa ke hospital dengan segera selepas sawan berhenti

Apabila sawan berhenti, anda perlu segera membawa si manja ke hospital atau Jabatan Kecemasan. Sekiranya ia masih berterusan hubungi 999 untuk mendapatkan bantuan ambulans.

Sebagai ibu bapa tips atau langkah seperti ini perlu untuk diketahui kerana sawan merupakan perkara yang boleh berlaku tanpa diduga.

Kebiasaannya apabila anak demam ia bagaikan mimpi ngeri yang membuatkan ibu bapa bimbang kerana takut anak terkena serangan sawan.