Setelah dua tahun menyepi, Oppo kembali dengan peranti baharu di bawah generasi siri X untuk pasaran global termasuk Malaysia. Apa yang menarik perhatian adalah kedua-dua model Find X8 dan Find X8 Pro akan dibawa masuk sekali. Sekali gus memberi peluang untuk pengguna mendapatkan tawaran terkini yang menarik. Sementara menunggu pelancaran rasmi, kami diberi peluang lebih awal untuk melihat lebih dekat penawaran pada kedua-dua peranti. Namun seperti biasa artikel akan lebih tertumpu kepada aspek rekaan tanpa penjelasan lanjut mengenai spesifikasi dalaman. Hal ini memandangkan spesifikasinya hanya akan didedahkan dengan lebih menyeluruh sejurus dilancarkan secara rasmi kelak.

Apa Di Dalam Kotak?
Sebelum kami berkongsi selanjutnya mengenai rekaan dirasakan lebih baik melihat terlebih dahulu beberapa item penting di dalam kotak pembelian. Apabila membeli kedua-dua model baharu ini anda sudah tentu menerima peranti itu sendiri yang menjadi item utama paling penting dalam kotak. Seterusnya sarung silikon atau plastik untuk melindungi peranti daripada calar yang diletakkan dalam kotak kecil yang berasingan. Anda juga tidak perlu membeli kepala pengecas secara berasingan sebaliknya Oppo menyertakannya bersama kabel USB-A ke USB-C di dalam kotak pembelian.
Rekaan Fizikal
Find X8 dan Find X8 Pro mempunyai reka bentuk yang anggun, premium dan bergaya. Dengan bingkai yang diperbuat daripada bahan logam berkualiti tinggi menjadikan kedua-dua peranti terasa kukuh dan premium sewaktu dipegang. Find X8 memiliki tubuh lebih kompak melalui rekaan yang rata memberikan sentuhan moden dan minimalis. Ia dirasakan bukan sahaja mampu membolehkan peranti diletakkan secara berdiri dengan stabil di permukaan rata. Malahan juga memberi cengkaman lebih baik untuk mengurangkan risiko peranti mudah tergelincir daripada tangan terutamanya sewaktu digunakan dengan sebelah tangan. Dengan binaan yang rata juga membolehkan skrin telefon pintar ini direka untuk memaksimumkan ruang paparan tanpa perlu menambah saiz keseluruhan.




Sementara itu Find X8 Pro menampilkan reka bentuk sisi melengkung yang juga mampu menarik perhatian sesetengah pengguna yang melihatnya. Rekaan melengkung ini juga mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu menambah nilai kepada pengalaman pengguna. Selain itu mampu memberikan pengalaman tontonan yang hampir seakan tiada bezel di bahagian tepi. Ini seterusnya memberikan lebih banyak ruang dapat dinikmati tanpa perlu mengorbankan keselesaan penggunaan.




Dengan rekaan bucu melengkung pada kedua-dua model ini pula bantu meningkatkan keselesaan semasa memegang telefon untuk tempoh yang lama. Skrin ditawarkan juga bukan sahaja beresolusi tinggi tetapi juga warna cukup terang untuk paparan yang jelas dalam kebanyakan situasi. Kedua-dua juga hadir dalam beberapa pilihan warna menarik termasuk hitam, putih dan juga merah jambu. Setiap warna tersedia turut dilihat menambah kecantikan pada keseluruhan reka bentuk peranti dengan kilauan halus. Butang kuasa dan laras audio juga direka dengan tekstur bahan berbeza untuk memudahkan pengguna mengenal pasti dengan mudah. Kedua-dua butang ini terletak di bahagian kanan dan boleh ditekan sebaiknya.

Bagaimanapun model pro mempunyai kelebihan butang kamera unik yang berfungsi seperti ciri pada iPhone 16. Ia dinamakan sebagai Quick Button dengan beberapa fungsi utama yang memudahkan penggunaan aplikasi kamera. Misalnya seperti klik sebanyak dua kali untuk mengaktifkan aplikasi kamera dengan lebih cepat. Selain itu boleh digunakan untuk melaraskan tahap zum dengan mudah terutamanya dalam mod landscape. Akhir sekali membolehkan gambar dan video diambil dengan hanya menekan butang ini sebanyak sekali. Dengan butang fizikal ini pengalaman mengambil gambar dan video dirasakan lebih praktikal tanpa perlu membuka skrin utama untuk mencari aplikasi kamera.

Seperkara lagi yang menarik pada siri Find X8 ialah butang slider di bahagian sisi kiri yang secara tidak langsung memberi fungsi tambahan pada peranti. Ia membolehkan pengguna menukar diantara mod senyap, getaran dan bunyi dengan mudah. Sekali lagi menjadikan lebih praktikal berbanding mengakses melalui ruangan tetapan utama. Port USB-C dan pembesar suara pula boleh ditemui di bahagian bawah peranti. Selain itu Oppo menyertakan juga fungsi infra merah dan sistem imbasan cap jari di skrin pada kedua-dua peranti ini. Tiadanya bicu audio 3.5mm tidak mengejutkan bahkan sudah sedia berlaku sejak beberapa generasi lagi.


Tidak ketinggalan juga Find X8 dan Find X8 Pro mempunyai bonggol kamera bulat yang menonjol di bahagian belakang. Ia dilihat sangat mirip dengan Oppo Find N3 dan dilindungi dengan bahan tahan lasak untuk melindungi lensa daripada calar serta kerosakan yang tidak disengajakan. Logo Hasselblad yang dipamerkan secara jelas pada model kamera juga menunjukkan kerjasama Oppo dengan jenama terkenal itu masih diteruskan dalam rangkaian baharu ini. Bermakna pengguna boleh menikmati pelbagai kelebihan teknologi dan profil warna Hasselblad dalam proses mengambil gambar menggunakan kamera peranti.

Itu sahaja perkongsian untuk anda memahami secara ringkas tentang Find X8 dan Find X8 Pro setakat ini. Seperti yang diperkatakan tadi, kesemua butiran lanjut yang termasuk perkakasan dalaman dan harga jualan rasmi akan didedahkan selepas pelancaran rasmi nanti. Ulasan penuh juga akan diterbitkan kemudian pada masa akan datang.

