“Ini Bukan Isu Besar..”-Penguat Kuasa MBI & Peniaga Berdamai, Selesai Secara Aman

LocalPolitics
17 Apr 2025 • 10:24 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Bukan isu besar, itulah penjelasan yang diberikan oleh Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahmad Zaiyadi Sudin, berkenaan insiden yang membabitkan seorang peniaga dan anggota penguat kuasa MBI di Taman Rasi Jaya, Menglembu.

Insiden yang tular di media sosial itu akhirnya diselesaikan dengan baik selepas satu pertemuan damai yang diatur oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian, dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How.

Ahmad Zaiyadi berkata, pertemuan yang diadakan di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan MBI pada Khamis bertujuan mencari penyelesaian agar krisis tidak berpanjangan atau disalah tafsir sebagai isu perkauman.

“Ini sebenarnya isu perundangan dan apabila melibatkan sentuhan terhadap anggota beruniform, prosesnya panjang. Namun, ia jarang berlaku di Ipoh,” katanya.

image is not available

Menurut beliau, penguatkuasaan undang-undang lebih kepada mendidik masyarakat mengenai kesalahan dan kepatuhan terhadap peraturan.

Dalam menghadapi cabaran seperti provokasi dari sesetengah pihak, Ahmad Zaiyadi berkata bahawa pihak MBI telah mengambil langkah untuk menambah baik modul latihan bagi memastikan anggota mereka lebih bersedia dalam mengendalikan situasi di lapangan secara berhemah.

image is not available

‘Ini Bukan Isu Besar’

Tambahnya, kedua-dua pihak yang terlibat, iaitu peniaga dan anggota penguat kuasa, telah bersetuju untuk menarik balik laporan polis dan tidak akan memanjangkan perkara tersebut.

“Kami mahu selesaikan perkara ini secara baik.
“Ini bukan isu besar, kita hanya cari titik pertemuan untuk diselesaikan,” ujarnya.

image is not available

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, mengesahkan bahawa laporan polis dibuat oleh anggota penguat kuasa berusia 40 tahun pada jam 6.43 petang Rabu, berhubung dakwaan provokasi dan kekerasan semasa menjalankan tugas di restoran tersebut.

Sumber: Sinar Harian (Saifullah Ahmad)