
KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi dibidas kerana didakwa melangkau batas susulan kenyataannya baru-baru ini yang memberikan gambaran bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim melutut dan merayu terhadap beliau berkenaan soal hal ehwal parti.
Sambil menyifatkan Rafizi semakin jauh daripada realiti, Ketua PKR Cabang Seremban, Noor Iskandar Mohamad Noor dan Ketua PKR Cabang Kimanis, Niki Ramday berkata, Ahli Parlimen Pandan itu diberi ruang dan platform malah diangkat ke jawatan tinggi atas pertolongan Anwar, namun apabila berada di tahap tertinggi, nadanya mula berubah.
“Ini bukan keberanian. Ini kesombongan. Sejarah Datuk Seri Anwar Ibrahim tu bukan cerita biasa sebaliknya pengorbanan besar yang membangkitkan dan asas kepada perjuangan reformasi di negara ini.
“Namun hari ini, seolah-olah semua itu cuba diperkecilkan dengan naratif yang meletakkan satu individu tertentu sebagai lebih penting daripada perjuangan reformasi itu sendiri,’’ kata Noor Iskandar.
Menurut Noor Iskandar, perjuangan ini dibina dengan pengorbanan ramai daripada jalanan, dizalimi, dimaki, bukan dengan retorik kosong, bukan dengan drama politik, dan bukan dengan ugutan halus.
“Jika tidak mampu menghormati, jangan menghina. Jika tidak mampu menyumbang, jangan merosakkan dan jika tidak mampu memahami sejarah, jangan cuba menulis semula mengikut kehendak sendiri,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini beberapa pihak telah menegur Rafizi dan mendakwa serangannya terhadap parti serta kerajaan telah menimbulkan polemik yang tidak perlu selain naratif yang mengelirukan.
Antaranya ialah pengerusi PKR Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor, yang mengingatkan bahawa menyerang parti secara terbuka tanpa berusaha menyelesaikan isu secara dalaman akan membolehkan pihak lain memanipulasi keadaan.
Sementara Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak, Mahmud Epah, menyifatkan tindakan dan kenyataan terbuka bekas Timbalan Presiden PKR itu sebagai liabiliti terbesar terhadap perjuangan Reformasi dan imej parti.
Dalam pada itu, Niki berkata, Anwar melalui fasa paling getir dalam politik negara, melawan kezaliman, dipenjarakan, difitnah dan diserang dari pelbagai sudut sehingga serangan ke atas ahli keluarganya namun tetap kekal mempertahankan prinsip dan landasan perjuangan.
“Dalam video Rafizi yang terbaru, beliau menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim harus mendapat restu beliau sebelum Anwar Ibrahim membuat sebarang keputusan.
“Dalam hikayat lama, Si Kitol bukan muncul sebagai musuh dari luar. Dia datang dari dalam dan itulah yang menjadikannya lebih berbahaya,’’ katanya.
Beliau memberitahu, perjuangan PKR tidak dibina atas nama individu sebaliknya dibina atas dasar kolektif, pengorbanan bersama dan kesetiaan kepada perjuangan reformasi.
Justeru, kata Niki, apabila ada pihak cuba meletakkan diri lebih besar daripada perjuangan itu sendiri, maka di situlah bermulanya keretakan
“Kalau sudah tidak mampu membawa diri dengan rendah hati, sekurang-kurangnya jangan merendahkan perjuangan yang pernah memberi ruang kepadanya,’’ katanya. - 7 April, 2026
The post ‘Ini bukan keberanian, ini kesombongan’ Rafizi sudah jauh daripada realiti, dakwa dua ketua cabang PKR appeared first on Scoop.
