'Ini bukan kes cuba bunuh diri'

8 Jun 2024 • 12:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar rakaman video memaparkan tindakan orang awam menyelamatkan seorang wanita yang duduk di struktur jejambat Bulatan Pahang, Kuala Lumpur pada Jumaat.

image is not available
Mohamad Lazim

KUALA LUMPUR - Seorang wanita yang disyaki mengalami masalah mental dan duduk di struktur jejambat Bulatan Pahang di sini, pada Jumaat diselamatkan dengan bantuan orang awam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kejadian berlaku pada jam 3.15 petang.

"Tiada laporan diterima melibatkan kes ini. Ia bukan kes cuba bunuh diri, wanita ini disyaki ada masalah mental dan telah diserahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa diselamatkan dengan bantuan orang awam.

"Mangsa mengalami kecederaan di pergelangan tangan dipercayai akibat dikelar sendiri. Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis," ujarnya.

Pada Sabtu, tular rakaman video berdurasi satu minit 14 saat oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Dalam rakaman itu, kelihatan orang awam berjalan di struktur jejambat itu cuba memujuk wanita terbabit selain anggota bomba yang bersiap sedia dengan aset jentera di bawah jejambat itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!