‘Ini bukan pasal happy Tun, tapi untuk selamatkan periuk nasi rakyat’ – Tengku Zafrul

LocalPolitics
8 Aug 2025 • 10:40 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

“Ini bukan pasal happy Tun, tapi tanggungjawab untuk menyelamatkan periuk nasi dan mata pencarian rakyat Malaysia,” tegas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul bidas Tun M

Beliau membidas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung rundingan tarif antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Tengku Zafrul berkata, kerajaan berunding dengan AS bukan untuk meraikan pengurangan tarif semata-mata, tetapi bagi mengelakkan risiko besar kepada negara.

“Kita berjaya mengelak tarif 25% yang boleh menjejaskan lebih RM198 bilion nilai eksport dan 100,000 pekerjaan, hanya untuk sektor elektrik dan elektronik (E&E) sahaja.

“Kita dapat kadar 19% yang sama seperti negara ASEAN lain, ini demi kepentingan negara dan kestabilan ekonomi,” katanya pada Khamis.

Tun M sebelum ini mendakwa Malaysia menghapuskan 100% cukai terhadap 11,000 produk AS sebagai balasan kepada pengurangan tarif AS, namun Tengku Zafrul menegaskan kenyataan itu tidak benar.

image is not available

Foto: Bernama

Menurut Tengku Zafrul, hanya 60.4% daripada baris tarif kini dikenakan duti sifar, bukannya 100%.

“60% itu lebih sedikit daripada separuh, bukan semua. Tuduhan Tun jelas palsu. Perjanjian ini bukan ‘give up’ cukai, tetapi mempertahankan eksport, pekerjaan dan kestabilan pasaran,” tegasnya.

Sementara itu, menjawab isu nadir bumi, Tengku Zafrul sekali lagi menafikan wujud sebarang perjanjian untuk membekalkan nadir bumi mentah secara eksklusif kepada AS.

Beliau menjelaskan, sejak 1 Januari 2024, Malaysia menguatkuasakan larangan eksport nadir bumi mentah selaras keputusan Kabinet, bagi memastikan semua nadir bumi diproses dalam negara untuk memaksimumkan nilai ekonomi.

image is not available

Foto: Bernama

Kerajaan kini membangunkan rantaian nilai nadir bumi lengkap daripada perlombongan (upstream), pemprosesan (midstream) hingga pembuatan berteknologi tinggi (downstream) yang dijangka menyumbang sehingga RM9.5 bilion kepada KDNK pada 2025 dan mencipta ribuan pekerjaan berkemahiran.

“Tak salah mengkritik, tetapi bila kritikan berlandaskan tuduhan palsu, itu salah,” ujar Tengku Zafrul lagi.

Sumber: Facebook Tengku Zafrul