
Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menegaskan semua rakyat Malaysia yang memiliki MyKad adalah anak Malaysia dan bukan pendatang, ketika mengulas isu berkaitan identiti kaum yang dibangkitkan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Dalam ceramah kempen itu, Nga berkata rakyat Melayu, Cina dan India telah bersama-sama membina negara serta menyumbang kepada pembangunan Malaysia sejak sekian lama.
“Ini IC saya, saya bukan pendatang. Kita semua anak Malaysia. Kita pegang MyKad sudah empat generasi. Kita adalah rakyat Malaysia,” katanya sambil mengangkat kad pengenalannya.
Ulas kenyataan Sanusi
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pandangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang sebelum ini menyentuh mengenai kedudukan dan identiti orang Melayu, termasuk cabaran dari segi penguasaan ekonomi serta politik.
Sanusi sebelum ini berkata orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai akar sejarah dan identiti mereka, berbanding beberapa kaum lain yang mempunyai negara yang dikaitkan dengan asal-usul mereka.
“Cina ada China, India ada India, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini sahaja,” katanya.
Baca juga:
- ‘Ini IC saya, saya bukan pendatang, kita anak Malaysia!’ – Nga Kor Ming
‘Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu’ – Sanusi
‘Jika BN-PN bergabung, tak perlu panik, hadapi dengan matang’ – Mat Sabu
Rakyat pelbagai kaum mainkan peranan untuk negara
Mengulas isu berkenaan, Nga berkata rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum tidak seharusnya dilihat sebagai orang luar kerana mereka turut memainkan peranan dalam membangunkan negara.
“Kita bukan orang luar, kita adalah pembina negara. Kita bayar cukai pendapatan, cukai pintu, cukai tanah.
“Kita mahu Melayu, Cina, India, semua adalah satu keluarga. Kita tidak buat politik pecah kaum, kita buat perpaduan rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya menolak politik yang menurutnya boleh memecahbelahkan hubungan antara kaum, sebaliknya mempertahankan semangat perpaduan sebagai asas pembentukan Malaysia.
“Jika kita cintakan Malaysia, kita pastikan politikus seperti Sanusi kalah teruk dekat Negeri Sembilan,” katanya.
The post ‘Ini IC saya, saya bukan pendatang, kita anak Malaysia!’ – Nga Kor Ming appeared first on The Reporter.






