Ini Komen Pihak Telegram Lanjutan Menteri Mengatakan Telegram Gagal Beri Kerjasama

TechnologyDigital
29 May 2023 • 9:11 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada penghujung minggu lepas, Menteri Komunikasi Dan Digital telah menyatakan Telegram gagal bekerjasama dalam mengawal kandungan lucah dan sebagainya, sekaligus mengatakan akan mengambil tindakan seterusnya. Lanjutan daripadanya, kini pihak Telegram telah mengeluarkan komen rasmi mereka kepada pihak Amanz.

Menurut Telegram, mereka aktif dalam membuang kandungan berbahaya pada platform mereka, termasuk penjualan bahan terlarang dan juga kandungan lucah awam. Telegram turut menyatakan moderator juga proaktif dalam memantau bahagian awam pada aplikasi tersebut, selain menerima laporan pengguna melalui aplikasi atau menggunakan emel abuse@telegram.org dalam usaha membuang kandungan yang melanggar terma dan syarat perkhidmatan. Telegram menambah, walaubagaimanapun mereka tidak akan sertai dalam sebarang penapisan politik.

image is not available

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan Digital telah menerima pelbagai aduan melibatkan Telegram, terutamanya salah-guna aplikasi tersebut melibatkan kandungan lucah, penipuan dan scam, serta penjualan barangan terlarang. Pihak Kementerian telah cuba menghubungi pihak Telegram, tetapi tidak menerima sebarang respon berkaitan dengannya.

Lanjutan daripadanya, Fahmi Fadzil mengatakan Telegram seperti tidak ikhlas untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam mengekang kandungan lucah dan berbahaya. Ia turut ditekankan, berbanding TikTok dan lain-lain platform, Telegram adalah yang paling membimbangkan buat masa ini.