
Ini Lima Tabiat Harian Yang Nampak Biasa Tapi Bahaya Untuk Buah Pinggang
Ramai menyangka masalah buah pinggang hanya melibatkan golongan berusia atau mereka yang sudah mempunyai penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi.
Hakikatnya, kerosakan buah pinggang boleh berlaku secara perlahan tanpa disedari dan lebih membimbangkan, ia sering berpunca daripada tabiat harian yang kita anggap biasa sahaja.
Buah pinggang sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam tubuh. Ia bertugas menapis toksin, mengawal keseimbangan cecair serta membantu memastikan sistem badan berfungsi dengan baik setiap hari.
Namun, apabila organ ini mula terjejas, kesannya bukan sekadar kepada kesihatan semata-mata, malah boleh memberi impak besar terhadap kualiti hidup seseorang dalam jangka panjang.
Justeru, SK hari ini akan kongsikan lima tabiat harian yang mungkin kelihatan remeh, tetapi sebenarnya boleh memberi kesan besar kepada kesihatan buah pinggang.
Kurang minum air kosong
Menurut portal National Kidney Foundation, tanpa pengambilan air yang mencukupi, anda berisiko mengalami kerosakan buah pinggang, terutamanya jika melakukan kerja berat atau berada dalam cuaca panas.
Air membantu buah pinggang menyingkirkan bahan buangan daripada badan.

Ia juga membantu mencegah pembentukan batu karang serta menjadikan ubat untuk jangkitan saluran kencing (UTI) lebih berkesan.
Bagi pesakit yang berada pada tahap akhir penyakit buah pinggang, pengambilan cecair mungkin perlu dihadkan.
Pengambilan gula secara berlebihan
Seperti yang diketahui, gula menyumbang kepada masalah obesiti.
Obesiti pula boleh meningkatkan risiko mendapat tekanan darah tinggi dan diabetes, iaitu dua punca utama penyakit buah pinggang.

Gula terdapat dalam pelbagai sumber, termasuk pencuci mulut, minuman, dan makanan yang mungkin tidak disangka mengandungi gula.
Oleh itu, pengguna dinasihatkan supaya memberi perhatian kepada kandungan bahan ketika membeli produk berbungkus bagi mengelakkan pengambilan gula tambahan dalam diet harian.
Pengambilan makanan diproses
Satu kajian pada tahun 2022 mendapati individu yang banyak mengambil makanan diproses mempunyai risiko 24 peratus lebih tinggi untuk menghidap penyakit buah pinggang.
Makanan ini biasanya diproses secara intensif dan mengandungi bahan tambahan tiruan, gula tambahan, karbohidrat ditapis, lemak tidak sihat serta natrium yang tinggi, tetapi rendah kandungan serat, protein dan nutrien penting.

Sebagai alternatif, orang ramai disarankan untuk mengambil lebih banyak makanan semula jadi seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh.
Kurang tidur
Menurut portal National Kidney Foundation lagi, tidur malam yang mencukupi amat penting untuk kesihatan keseluruhan tubuh, termasuk buah pinggang.

Fungsi buah pinggang turut dipengaruhi oleh kitaran tidur-bangun yang membantu menyelaraskan beban kerja buah pinggang dalam tempoh 24 jam.
Kurang bergerak (duduk terlalu lama)
Senaman secara berkala menawarkan pelbagai manfaat kesihatan, khususnya kepada pesakit penyakit buah pinggang.
Ia membantu mengekalkan berat badan yang sihat, tekanan darah serta paras kolesterol pada tahap terkawal.

Satu kajian menunjukkan bahawa individu dengan penyakit buah pinggang peringkat lanjut yang kerap bersenam mempunyai risiko kematian kira-kira 50 peratus lebih rendah berbanding mereka yang tidak bersenam.
Baca juga:

