ASUS Zenfone 9 dilancarkan tahun lalu sebagai peranti Android kompak dengan skrin sebesar 5.9-inci. Ini dipadankan pula dengan cip Snapdragon 8+ Gen1, memori 16GB LPDDR5, storan sehingga 256GB UFS 3.1, kamera utama 50MP dan bateri 4300 mAh yang menyokong pengecasan 30W.

Desas-desus mengenai kewujudan generasi baharu untuk siri berkenaan mula kedengaran apabila tularnya beberapa info peranti yang dikongsi oleh Pricebaba. ASUS Zenfone 10 dipercayai hadir dengan skrin 6.3-inci AMOLED bersama kadar segar semula 120Hz. Cip Snapdragon 8 Gen 2 juga mungkin digunakan dengan gabungan memori sehingga 16GB RAM dan storan terbina mencapai 512GB. Selain daripada itu, peranti juga dijangka mempunyai sistem penyejukan lebih baik bagi tujuan pengoptimasian prestasi yang memuaskan. Bateri pula sebesar 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W, selajutnya sistem kamera dengan OIS terbina.

Buat masa ini, perlu diingatkan maklumat dikongsi masih lagi diperingkat ura-ura. Namun jikalau ianya benar, kita boleh menyaksikan siri baharu ASUS Zenfone ini tidak lagi dilengkapi dengan rekaan tubuh berkompak seumpama pendahulunya.
