
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Selain mengejar keputusan cemerlang bagi menempatkan diri di tempat kerja yang berprestij, ramai juga mahasiswa yang berusaha keras untuk mendapatkan insentif pengecualian bayaran balik pinjaman pendidikan sebagai contoh yang ditawarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Berita baik buat graduan yang meraih keputusan cemerlang iaitu pemegang Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya, anda sebenarnya layak memohon pengecualian pembayaran semula tanpa mengira latar belakang ekonomi, kaum, atau agama.
Program yang diperkenal sejak 2001 ini bertujuan meningkatkan semangat para pelajar mendapatkan kelulusan terbaik dan cemerlang. Malah ia juga meringankan beban golongan kurang berkemampuan dari segi kewangan mereka.

Syarat-syarat Permohonan Pengecualian Bayaran Balik PTPTN
Untuk pengetahuan semua, permohonan ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN dari Universiti Awam (UA), Politeknik dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS). Perlu diingatkan juga bahawa permohonan ini tidak terbuka buat peminjam di peringkat pengajian Diploma.
Berikut adalah syarat-syarat bagi permohonan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN:
- Pengajian Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa: Peminjam harus mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa sepanjang pengajian berlangsung.
- Terima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama: Peminjam perlu menerima kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama. Bagaimanapun skor bagi Kelas Pertama ini adalah bergantung kepada institusi masing-masing. Secara umumnya CGPA (Purata Nilai Gred Keseluruhan) bagi Kelas Pertama adalah 3.50 dan ke atas.
- Tamat pengajian dalam tempoh ditetapkan: Peminjam perlu menamatkan pengajian dalam tempoh masa ditetapkan dalam surat tawaran pinjaman PTPTN.
- Pinjaman tidak bertindih: Pinjaman PTPTN tidak bertindih dengan penajaan atau biasiswa dari agensi lain.
- Akreditasi Penuh MQA: Program pengajian yang diambil mestilah mendapat Sijil Perakuan Akreditasi Penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) khusus buat peminjam dari IPTS.
- Membuat permohonan dalam tempoh 12 bulan dari konvokesyen: Permohonan yang dihantar selepas tempoh ini tidak akan diterima.
Permohonan tersebut boleh ditolak sekiranya graduan mempunyai hutang Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) yang masih belum diselesaikan.
NOTA: Permohonan boleh dilakukan secara online sahaja melalui Portal Rasmi PTPTN. Untuk mengenal pasti kiraan betul CGPA bagi Kelas Pertama pengajian, anda dinasihatkan untuk melakukan pengesahan dengan insitusi masing-masing. Penentuan Kelas Pertama ini diberikan oleh senat IPT.
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Belum Cadang Mahu Mansuhkan Hutang Pinjaman PTPTN Bersasar – KPT
Langkah-langkah Lakukan Permohonan Pengecualian Bayaran Pinjaman PTPTN
Buat para graduan yang masih keliru, di sini kami kongsikan langkah demi langkah untuk melakukan permohonan tersebut:
#1 Log masuk myPTPTN

#2 Tekan menu Perkhidmatan
Tekan menu Perkhidmatan pada side bar sebelah kiri dan seterusnya memilih menu Bayaran Balik Pinjaman di bahagian menu atas.

#3 Pilih Permohonan Pengecualian Bayaran Balik
Pilih menu Permohonan Pengecualian Bayaran Balik Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama (dengan simbol mortar board
).

#4. Tekan butang Permohonan Baru
Sistem akan memaparkan senarai pinjaman. Pengguna diminta untuk menekan menu Permohonan Baharu dan kemudian tekan menu Mohon.


#5 Isi Maklumat Peminjam
Maklumat Peminjam akan dipaparkan di skrin. Pengguna diminta untuk melengkapkan maklumat pada ruangan yang wajib diisi.

#6 Isi Info-info Lain & Upload Dokumen Sokongan
Kemudian isi pula ruangan Maklumat Pengajian, Maklumat Pendapatan, dan Dokumen Sokongan. Dokumen sokongan adalah penting kerana ia menentukan sama ada permohonan anda dapat diluluskan atau sebaliknya.



#7 Tekan Checkbox sebelum hantar
Selepas semua pengesahan maklumat selesai diisi, pengguna perlu menekan tiga butang tersedia di bawah tab Perakuan Pemohon sebelum klik menu Hantar di sebelah kanan bahagian bawah skrin.

#8 Pastikan ‘Pop-up’ Permohonan Berjaya ‘Dihantar’ Dipaparkan
Pop-up ‘Permohonan Anda Telah Berjaya Dihantar’ dan paparan Status: Permohonan Diterima akan ditunjukkan pada skrin anda.

#9 Selesai! Semak status dari semasa ke semasa
Selesai semuanya. Apa yang anda perlu tunggu sekarang adalah e-mel kelulusan daripada pihak PTPTN. Sekiranya diluluskan, status anda itu akan berubah seperti di bawah ini.

Dokumen Sampingan Yang Perlu Disediakan Untuk Lakukan Permohonan
Di bawah ini adalah dokumen sampingan yang perlu anda sediakan sebelum mengisi permohonan online berkenaan:
- Salinan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama atau setaraf dengannya yang disahkan (skrol diterima semasa konvokesyen).
- Salinan transkrip keputusan peperiksaan yang disahkan.
- Salinan Sijil Perakuan Akreditasi daripada MQA yang disahkan (bagi peminjam IPTS).
- Surat pengesahan Kelas Pertama (jika tidak dicatatkan perkataan ‘Kelas Pertama’ pada Ijazah).
- Surat pengesahan tamat pengajian (jika tidak dicatatkan tarikh tamat pengajian pada ijazah atau transkrip).
Penyediaan Dokumen Sokongan Permohonan Pengecualian Bayaran Balik Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama
Dimaklumkan bahawa peminjam yang layak membuat permohonan pengecualian bayaran balik, anda perlu menyediakan dokumen sokongan bagi tujuan muat naik dokumen. pic.twitter.com/lBlkgEtX17
NOTA: Salinan dokumen sokongan hendaklah disahkan oleh pegawai kumpulan Pengurusan & Profesional (Bahagian Akademik atau Bahagian Pengurusan Rekod yang mengeluarkan Ijazah di IPT) dengan cop pengesahan mengandungi Nama Pegawai, Jawatan dan Nama Jabatan.
FAQ: Adakah PTPTN Akan Refund Jika Peminjam Sudah Mula Lakukan Bayaran Bulanan Pinjaman Jika Permohonan Dah Diluluskan?
Secara umumnya, permohonan ini akan mengambil sedikit masa. Segelintir peminjam menunggu hampir satu tahun sebelum permohonan mereka diluluskan.
Jika anda membuat pembayaran semula selama beberapa bulan sebelum mengetahui status permohonan itu, usah risau pihak PTPTN akan refund (lakukan pemulangan semula) kepada peminjam selepas ia diluluskan.
FAQ: Boleh Ke Graduan Kelas Pertama Buat Permohonan Jika Sudah Batalkan Pinjaman PTPTN Ketika Pengajian?
Dalam sesetengah situasi, ada pelajar yang membatalkan pinjaman PTPTN dan beralih ke tajaan pendidikan yang lain semasa pengajian berlangsung. Persoalannya, adakah graduan ini layak melakukan permohonan pengecualian bayaran balik PTPTN itu bagi pinjaman yang telah diterima untuk beberapa semester?
Jawapannya adalah boleh. Pertimbangan pengecualian bayaran balik akan diberikan ke atas jumlah pinjaman yang tidak bertindih dengan penaja lain. Penjadualan semula akan dilakukan dan peminjam boleh membuat bayaran ansuran mengikut Jadual Bayaran Balik (JBB).
Semak Status Permohonan Dalam Masa 60 Hari
Menurut PTPTN, status permohonan boleh disemak dalam tempoh 60 hari daripada tarikh permohonan dihantar di laman myPTPTN.
Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghubungi Careline PTPTN (03-2193 3000).
Proses Permohonan Pengecualian Bayaran Balik PTPTN Bagi Graduan UiTM
Khusus untuk pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini kami kongsikan panduan untuk melakukan permohonon pengecualian bayaran balik PTPTN:
- Selepas tamat pengajian, pelajar boleh memohon surat pengesahan tamat pengajian dan transkrip mini di fakulti atau kampus masing-masing secara online.
- Lakukan semakan sesi konvokesyen di laman UiTM Graduate Quick Search selepas lebih kurang lima (5) bulan selepas tamat pengajian. Anda boleh memohon surat pengesahan bergraduat sekiranya sudah ada sesi graduasi.
- Terima notifikasi konvokesyen melalui SMS.
- Semak laman sesawang Bahagian Rekod Pelajar dan Konvokesyen (BRPK) untuk memohon skrol (bagi mereka yang tidak menghadiri majlis konvokesyen).
- Anda akan dapat skrol, transkrip rasmi, salinan skrol yang telah disahkan, dan surat pengesahan tamat pengajian.
- Permohonan pengecualian bayaran balik mengikut panduan yang disertakan di atas sebentar tadi.

Semoga berjaya! 
Baca Artikel Berkaitan: “Pembayaran Balik PTPTN Ikut Pendapatan, Potongan Gaji Automatik Menerusi LHDN” – PM
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Ini Kongsi Bagaimana ‘Hutang’ 1 Sen PTPTN Jadi RM515 Hingga Nyaris Naik Ke Mahkamah
Baca Artikel Berkaitan: Lebih 400 Ribu Peminjam PTPTN Bebas Ke Luar Negara


