Ini Penjelasan Mudah Aturan Cuti Bertindih Hari Gawai Dan Hari Keputeraan Agong 2025

11 May 2025 • 2:13 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Penjelasan yang mudah difahami agar anda boleh merancang cuti dengan lebih awal

Ini Penjelasan Mudah Aturan Cuti Bertindih Hari Gawai Dan Hari Keputeraan Agong 2025. Bulan Jun ini, ada sedikit plot twist untuk kalendar cuti umum di Sarawak. Hari Gawai Dayak kedua, iaitu pada 2 Jun 2025 (Isnin), jatuh serentak dengan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong. Mesti ada yang dah mula tertanya-tanya, “Eh, macam mana ni? Cuti umum serentak lah?”

Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTKS) di bawah Kementerian Sumber Manusia Malaysia, telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi baru-baru ini untuk menjelaskan keadaan sebenar, supaya semua pihak, tak kira majikan atau pekerja, faham situasi ini.

Menurut Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, mengikut lunas undang-undang di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), Hari Keputeraan Agong adalah cuti umum yang wajib diberikan kepada pekerja. Cuti ini memang confirm dapat dan tidak boleh diganti dengan hari lain.

Manakala, cuti Gawai pula dikategorikan sebagai cuti pilihan yang ditetapkan berdasarkan agama dan budaya pekerja masing-masing. Jadi, ada sedikit kelonggaran di situ.

image is not available
Ini Penjelasan Mudah Aturan Cuti Bertindih Hari Gawai Dan Hari Keputeraan Agong 2025. Sumber: Jabatan Tenaga Kerja Sarawak

Jadi, Apa Penyelesaiannya?

Untuk anda yang sememangnya menyambut Gawai Dayak dan layak mendapat cuti tersebut, jangan risau. Cuti anda takkan hilang begitu sahaja. JTKS telah menetapkan bahawa hari Selasa, 3 Jun 2025, akan menjadi hari cuti gantian bagi hari kedua Gawai yang bertindih itu. Kiranya masih dapatlah dua hari cuti Gawai!

Tapi, ada lagi option. Kalau kata majikan dan anda sama-sama setuju nak pilih tarikh lain sebagai ganti, itu pun dibolehkan. Perkara ini termaktub dalam Seksyen 104(2) Ordinan yang sama. Yang penting, ada kata sepakat antara kedua-dua belah pihak. Fleksibel, kan?

Bagaimana Pula Kalau Hari Gawai Pertama Jatuh Pada Hari Ahad?

JTKS juga mengingatkan satu lagi peruntukan penting dalam Ordinan Buruh, iaitu Seksyen 104(1). Seksyen ini menyatakan, kalau mana-mana hari cuti umum tu jatuh pada hari rehat mingguan pekerja seperti hari Ahad, maka hari kerja berikutnya secara automatik akan jadi cuti gantian.

Sebagai contoh, katakanlah 1 Jun 2025 (Ahad), iaitu Hari Gawai pertama, adalah hari rehat mingguan anda. Dalam situasi ini:

  • Selasa, 3 Jun 2025 akan jadi cuti umum gantian untuk 1 Jun tadi.
  • Manakala, Rabu, 4 Jun 2025 pula akan jadi cuti umum kedua (menggantikan hari kedua Gawai yang asalnya bertindih dengan Hari Keputeraan Agong pada 2 Jun, dan yang mana cuti gantian asalnya pada 3 Jun telah digunakan untuk mengganti cuti 1 Jun).

Contoh Situasi Sebenar Untuk Pekerja Swasta di Sarawak

Nak bagi lebih faham, jom kita tengok beberapa contoh situasi sebenar:

Contoh 1: Hari Gawai Pertama Jatuh Pada Hari Rehat

Katakan Puan Grace bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuching dan hari rehat mingguannya adalah hari Sabtu dan Ahad. Beliau menyambut Hari Gawai.

  1. 1 Jun 2025 (Ahad): Ini adalah Hari Gawai Pertama. Kebetulan, ia juga adalah hari rehat mingguan Puan Grace.
  2. 2 Jun 2025 (Isnin): Ini adalah Hari Keputeraan Rasmi YDP Agong (cuti umum wajib) DAN juga sepatutnya Hari Gawai Kedua.

Berdasarkan penjelasan JTKS:

  • Puan Grace akan bercuti pada Ahad, 1 Jun (memang hari rehatnya dan Hari Gawai Pertama).
  • Beliau akan bercuti pada Isnin, 2 Jun (Hari Keputeraan Agong).
  • Oleh kerana 1 Jun (Gawai Pertama) jatuh pada hari rehatnya, Selasa, 3 Jun akan menjadi cuti umum gantian untuk Gawai Pertama.
  • Kemudian, oleh kerana Hari Gawai Kedua (asalnya 2 Jun) bertindih dan gantiannya (3 Jun) telah digunakan, maka Rabu, 4 Jun akan menjadi cuti umum gantian untuk Hari Gawai Kedua.

Jadi, Puan Grace akan mendapat cuti rehat bersambung dari Ahad (1 Jun) hingga Rabu (4 Jun). Suk hati Puan Grace dapat cuti lamak!

image is not available
Gambar hiasan. *Boleh jadi macam nilah Puan Grace sambut Gawai kalau cuti dia sambung sampai Rabu.

Contoh 2: Persetujuan Bersama Untuk Tarikh Cuti Gantian Gawai Yang Berbeza

Sekarang, mari kita lihat pula contoh bagaimana persetujuan bersama antara pekerja dan majikan boleh mengubah tarikh cuti gantian, seperti yang dibenarkan bawah Seksyen 104(2) Ordinan Buruh Sarawak.

Katakan Encik Ben bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat perunding di Bintulu. Beliau menyambut Gawai Dayak.

  • Seperti yang kita tahu, 2 Jun 2025 (Isnin) adalah Hari Gawai Kedua yang bertindih dengan Hari Keputeraan Agong. Cuti gantian umum yang ditetapkan oleh JTKS untuk Hari Gawai Kedua ini ialah pada 3 Jun 2025 (Selasa).
  • Namun, Encik Ben bercadang untuk pulang ke kampung halaman yang lebih jauh dan ingin menyambung cutinya pada hujung minggu berikutnya untuk lebih masa bersama keluarga.
  • Beliau berbincang dengan pengurusnya dan mencadangkan agar cuti gantian Gawai keduanya (yang sepatutnya pada 3 Jun) ditukarkan ke hari Jumaat, 6 Jun 2025.
  • Selepas pertimbangan, pihak syarikat bersetuju dengan cadangan Encik Ben kerana projek yang dikendalikannya tidak mempunyai tarikh akhir yang kritikal pada awal minggu tersebut. Persetujuan ini direkodkan secara bertulis.
  • Maka, Encik Ben akan bekerja seperti biasa pada Selasa, 3 Jun 2025, tetapi akan mendapat cuti umum gantian Gawai pada Jumaat, 6 Jun 2025. Beliau kemudiannya boleh menikmati cuti panjang dari Jumaat hingga Ahad.

Contoh ini menunjukkan bahawa selagi ada perbincangan dan persetujuan bersama, tarikh cuti gantian Gawai boleh disesuaikan mengikut keperluan pekerja dan kelulusan majikan.

Kenyataan JTKS ini dikeluarkan berikutan timbulnya persoalan dan mungkin sedikit kekeliruan dalam kalangan warga Sarawak mengenai pertindihan tarikh cuti ini. Hal ini kerana Gawai Dayak secara tradisinya sememangnya diraikan dengan dua hari cuti umum di Bumi Kenyalang.

Jadi, sekarang dah jelas kan? Bolehlah mula rancang aktiviti untuk cuti Gawai bulan depan. Yang penting, fahami hak sebagai pekerja dan berkomunikasi dengan baik bersama majikan. Selamat merancang!

Ini pula resepi mudah air calamansi yang boleh anda cuba semasa Gawai Dayak nanti: