Ini Sejarah & Info Ringkas Tentang Etnik Rohingya

11 Jun 2026 • 4:40 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Ini Sejarah & Info Ringkas Tentang Etnik Rohingya

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak belakangan ini, kecoh di media sosial isu melibatkan pelarian Rohingya khususnya yang menetap di Malaysia.

Apatah lagi wujudnya dakwaan kurang enak melibatkan pelarian UNHCR ini yang dikongsikan oleh warganet sehingga timbulnya petisyen untuk mengusir Rohingya dari Malaysia.

Namun pernahkah anda tertanya-tanya sejarah komuniti ini dan apakah kisah sebenar yang menyebabkan mereka terpaksa menjadi pelarian di negara orang.

Siapa Sebenarnya Etnik Rohingya?

Secara umumnya, Rohingya merupakan kumpulan minoriti Islam di Myanmar. Sebahagian besar daripada mereka tinggal di Arakan (yang kini dikenali sebagai Rakhine) khususnya di sekitar Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung, Sittwe dan Kyauktaw.

Berdasarkan perkembangan sejarah, etnik Rohingya di Arakan merupakan kacukan dari pelbagai bangsa termasuklah Arab, Parsi, Afghanistan dan Bengal serta Chittagong.

Malah, dikatakan separuh penduduk Rakhine terdiri daripada Rohingya sendiri iaitu seramai 1.4 juta orang.

Lapor Berita Harian yang memetik Presiden Pertubuhan Perpaduan Rohingya (RSO) Arakan, Dr Mohammad Yunus dalam bukunya bertajuk ‘A History of Arakan: Past and Present’, sejarah menunjukkan Rohingya merupakan penduduk asal Arakan.

Terdapat dua komuniti utama di Arakan iaitu Rohingya yang keseluruhannya beragama Islam dan merupakan penduduk majoriti manakala Mahghs (Rakhaings) merupakan golongan minoriti yang beragama Buddha.

Bagaimana Etnik Rohingya Boleh Jadi Golongan Minoriti Terasing Di Negara Sendiri?

Jadi bagaimana komuniti seramai itu boleh menjadi minoriti terasing malah pengemis di negara mereka sendiri?

Rohingya mula kehilangan identiti di negara sendiri selepas melarikan diri ke Bangladesh dari Perang Etnik pada tahun 1942.

Namun, kepulangan mereka ke Myanmar kemudiannya tidak diakui malah dianggap sebagai pengemis di negara sendiri kesan daripada perubahan dasar negara.

Sewaktu zaman penjajahan British di Myanmar, etnik Rohingya diklasifikasikan sebagai Indo-Burma dan ketika Myanmar mencapai kemerdekaan pada tahun 1948, mereka telah dianggap sebagai bukan warganegara di bawah Akta Kesatuan Kewarganegaraan.

Pun begitu, akta tersebut masih membenarkan keluarga Rohingya tinggal selama dua generasi bagi memohon kad pengenalan.

Namun, ada diantara mereka yang memiliki kad pengenalan serta warganegara hingga ada yang dipilih sebagai ahli parlimen.

Rohingya Tidak Diiktiraf Sebagai Salah Satu Etnik Dari 135 Etnik Di Myanmar

Walau bagaimanapun, segalanya berubah apabila berlaku rampasan kuasa di Myanmar pada tahun 1962 apabila Rohingya menjadi satu-satunya kumpulan yang diberi kad pengenalan luar berbanding warganegara lain yang diberi kad pengenalan kebangsaan.

Keadaan ini menghalang etnik terbabit untuk mendapat pekerjaan serta hak sama rata seperti komuniti lain.

Malah pada tahun sama, seramai 1.5 juta Muslim Rohingya dipaksa keluar dari tanah air apabila junta tentera mula berkuasa dan menetapkan peraturan ketat terhadap agama selain Buddha di Myanmar.

Akhirnya pada tahun 1982, mereka tidak dianggap sebagai salah satu daripada 135 etnik di Myanmar sekaligus menjadikan mereka sebagai individu tanpa kerakyatan.

Image from: Ini Sejarah & Info Ringkas Tentang Etnik Rohingya

Rohingya Masyarakat Yang Menerima Penindasan Paling Buruk, Ini Antara Kekejaman Yang Dihadapi Mereka

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Rohingya merupakan masyarakat yang menerima penindasan paling buruk di dunia.

Antara kekejaman dan penindasan yang mendapat perhatian adalah:

#1 Operasi Naga Min (1978)

Operasi yang bermula pada 6 Feb 1978 dan merupakan sebahagian daripada Pelan 20 Tahun Pembasmian Rohingya.

Kononnya operasi ini untuk menangkap pendatang haram khususnya dari China, Nepal dan Bangladesh. Namun ia menjadikan Rohingya yang sememangnya tiada pengenalan diri sebagai sasaran.

Apabila etnik ini bertindak balas, kerajaan menjadikannya sebagai alasan untuk bertindak lebih kejam malah beratus-ratus golongan Muslim diseksa dan dibunuh manakala kaum wanita turut dirogol menyebabkan sebahagian besar mereka lari dan menjadi pelarian.

#2 Kempen Pembasmian Etnik (1991)

Pada tahun 1991, kempen pembasmian etnik termasuk Rohingya telah dilancarkan dan diberi nama sebagai Pyi Thaya.

Ketika kempen ini, penyeksaan dan kezaliman tentera terus berlanjutan di mana mereka ditangkap, dibunuh manakala kaum wanita dirogol selain tempat tinggal dan masjid turut dimusnahkan.

Memetik Berita Harian, lebih 250,000 pelarian melarikan diri kerana mendakwa menjadi mangsa penganiayaan tentera Myanmar.

#3 Rusuhan Antara Rohingya & Rakhine Buddha (2012)

Konflik diantara Rohingya serta masyarakat Rakhine Buddha mula tercetus apabila timbul khabar angin yang mendakwa seorang gadis Rakhine dirogol oleh pemuda Rohingya menyebabkan 10 orang Muslim terbunuh.

Keadaan tegang ini juga menyebabkan lebih 1,000 etnik Rohingya terkorban dibunuh oleh puak Rakhine malah ratusan sami Buddha turut berkumpul pada awal September 2012 untuk menyokong tindakan presiden agar menghantar Rohingya ke negara lain.

Konflik semakin berleluasa apabila pada tahun 2016, kumpulan militan Rohingya Harakah al-Yaqin menyerang pengawal sempadan serta membunuh sembilan askar.

Tentera kemudiannya membalas sehingga menyebabkan lebih 25,000 orang melarikan diri ke Bangladesh serta turut berlaku kekejaman.

Image from: Ini Sejarah & Info Ringkas Tentang Etnik Rohingya
Foto: Royal Thai Navy

Bagaimana Rohingya Masuk Ke Pelbagai Negara Termasuk Malaysia?

Dek kerana situasi yang dialami oleh mereka, Rohingya mula datang ke negara jiran seperti Bangladesh dan Malaysia sejak tahun 1980-an lagi menerusi pelbagai cara antaranya seperti jalan laut dan darat.

Memetik Harian Metro, seramai 219,472 orang merupakan pemegang kad UNHCR di Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 197,591 merupakan pelarian Myanmar dengan 128,200 terdiri daripada komuniti Rohingya sehingga April 2026 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan.

Ada Etnik Rohingya Yang Pakai Kad UNHCR Palsu

Pun begitu, ada juga segelintir etnik Rohingya yang tertangkap kerana menggunakan kad UNHCR yang palsu.

Malah sebelum ini, sudah terdapat beberapa individu atau dalang yang terbabit dalam pemalsuan surat pertimbangan UNHCR pada 2023.

Meskipun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, pelarian dan pemohon suaka ini diterima atas dasar kemanusiaan dengan membenarkan mereka tinggal sementara di sini sebagai negara transit sebelum dikembalikan ke negara asal atau ditempatkan semula di negara ketiga sebagai contoh di Kanada dan Amerika Syarikat.

Namun jangan keliru, pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah perkara yang berbeza.

PATI kebiasaannya boleh pulang ke kampung halaman dengan selamat manakala pelarian khususnya yang terpaksa melarikan diri akibat peperangan tidak dapat pulang dengan selamat justeru memerlukan mandat UNHCR sebagai perlindungan.

Baca Artikel Berkaitan: Tidak Makan 5 hari, 59 Warga Rohingya Terkandas Di Thailand Semasa Menuju Ke Malaysia

Baca Artikel Berkaitan: Ketibaan Ratusan Pelarian Rohingya Tidak Diterima Penduduk Aceh

View Original Article