Ini Senarai Kes Rasuah Didakwa Libatkan Anggota ATM Sejak Ogos Tahun Lalu

LocalPolitics
20 Jan 2026 • 4:36 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Ketika Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Parlimen semalam (19 Januari), Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menzahirkan rasa kekecewaannya terhadap kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga ke peringkat tertinggi.

Sehubungan itu, baginda turut bertitah bahawa amalan rasuah perlulah diperangi secara besar-besaran.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Rasuah Dalam ATM: “Agaknya Lepas Ini Saya Terpaksa Lantik Sarjan Saja Jadi PAT” – Agong

Sebelum ini, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) baharu, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman, agar memerangi sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan dalam angkatan pertahan negara.

View this post on Instagram

A post shared by BuzzKini (@buzzkini)

Apa Yang Kita Ketahui Tentang Kes Rasuah Membabitkan ATM

Kenyataan Sultan Ibrahim nyata mencuri perhatian ramai memandangkan berita rasuah yang membabitkan ATM selaku badan pertahanan negara sememangnya sudah mendapat perhatian yang luas rakyat Malaysia.

Bahkan semalam (19 Januari), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan kertas siasatan melibatkan pegawai tinggi ATM kepada pihak pendakwa raya berserta cadangan pertuduhan.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, kes tersebut melibatkan siasatan bagi kes Op Parasit dan Op Star.

Secara ringkasnya Op Parasit adalah siasatan SPRM terhadap bekas Panglima Tentera Darat (PTD) berhubung projek perolehan tender tentera darat, manakala Op Star adalah siasatan membabitkan bekas pegawai kanan ATM berkaitan perolehan pembekalan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Jadi di bawah kami kongsikan antara kes siasatan yang didakwa membabitkan pihak tentera yang telah atau sedang dijalankan oleh pihak SPRM.

5 Pegawai Kanan ATM Ditahan Disyaki Terlibat Sindiket Penyeludupan

Pada 14 Ogos 2025, lima pegawai kanan ATM merupakan antara 10 individu yang ditahan reman kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan di selatan tanah air, selepas Op Sohor dijalankan di Lembah Klang.

Dalam operasi terbabit, SPRM turut merampas wang tunai lebih RM63,000, bungkusan dadah, alat penimbang, penyukat, minuman keras dan senjata api tiruan.

Sehubungan itu media melaporkan barangan yang diseludup termasuk dadah, rokok dan barangan lain dari negara jiran bernilai sekitar RM5 juta sebulan.

Mereka disyaki menerima rasuah sebanyak RM30,000 hingga RM50,000 setiap kali penyeludupan dijalankan.

Berdasarkan laporan Berita Harian, siasatan SPRM mendapati pegawai kanan ATM yang terlibat disyaki mengumpul hasil rasuah lebih RM3 juta dan telah bersekongkol dengan sindiket sejak lima tahun lalu.

Susulan itu, Azam Baki memaklumkan empat pegawai kanan ATM yang ditahan akan didakwa di mahkamah, manakala seorang lagi akan dikemukakan laporan tatatertib kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF), lapor Awani.

Sultan Ibrahim Titah Batalkan Pembelian Helikopter Black Hawk Lama

Pada 16 Ogos 2025, Sultan Ibrahim bertitah agar MINDEF membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang telah berusia lebih 30 tahun.

“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand (terpakai). Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.

“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘agent’ atau bekas Jeneral yang menjadi ‘salesman’ malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual ‘ drone’.

“Kalau semua pembelian kena ikut harga orang tengah maka peruntukan yang ada tidak akan cukup. Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi,” titah baginda.

Rumah Pegawai Kanan Tentera Darat Digeledah, Jam Tangan & Beg Tangan Mewah Dirampas

Selain itu, siasatan ke atas kes rasuah membabitkan ATM pada tahun lepas turut menyaksikan jam tangan dan beg tangan mewah dirampas.

Ini susulan penggeledahan yang dijalankan di pejabat Tentera Darat di MINDEF serta kediaman rasmi seorang pegawai kanan Tentera Darat pada 27 Disember 2025.

Namun media melaporkan bahawa tiada sebarang wang tunai yang ditemukan dalam operasi tersebut yang berlangsung dari 5 petang hingga 12 tengah malam.

Azam Baki berkata enam akaun bank milik suspek dan ahli keluarga juga disita bagi membantu siasatan.

“Pegawai SPRM turut menjalankan penggeledahan di beberapa syarikat yang dipercayai terbabit bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan,” katanya.

Kes Rasuah Tender Disyaki Babitkan Bekas PTD

Pada 7 Januari lalu pula, bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan dua isterinya ditahan berhubung projek perolehan tender tentera darat.

Mereka kemudian ditahan reman pada 8 Januari, masing-masing bagi tempoh tertentu, untuk tujuan siasatan. Namun kesemua mereka telah dibebaskan selepas tamat tempoh reman.

Selain mereka, terdapat dua lagi individu yang merupakan suami isteri turut ditahan reman kerana disyaki bersubahat melarikan wang tunai RM2.4 juta itu berkaitan kes sama.

Sebelumnya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan cubaan memindahkan wang tunai tersebut telah dikesan oleh pihaknya hasil maklumat risikan.

“Pagi tadi (7 Januari) saya dimaklumkan mengenai wang yang dirampas, lebih kurang RM2.4 juta dalam bentuk tunai,” katanya.

View this post on Instagram

A post shared by BuzzKini (@buzzkini)

Pada 14 Januari pula, SPRM telah menahan seorang lagi pegawai tinggi ATM berkaitan kartel projek tender perolehan tentera darat.

SPRM Rampas Barangan Bernilai RM11.4 Juta Dari 2 Kediaman Bekas PTD

Pada 15 Januari, media melaporkan SPRM telah merampas wang tunai dan barangan bernilai RM11.4 juta dari dua kediaman bekas PTD, termasuk di sebuah rumah rahsia di Kuala Lumpur dan sebuah rumah di Besut, Terengganu.

Barangan disita termasuk:

  • Wang tunai RM4.4 juta
  • Mata wang asing bernilai RM1.4 juta
  • Satu (1) unit kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000
  • 26 unit jam bernilai RM2.3 juta
  • Barang kemas bernilai RM294,039.90
  • Dua (2) cincin berlian bernilai RM20,000
  • Jongkong emas seberat 3.7kg (RM2.5 juta)
  • Medalion emas 150 gram (RM102,000)
  • Dua (2) dinar emas seberat 8.5 gram (RM5,780)

Dalam masa sama, Azam Baki turut mendedahkan bahawa sebanyak 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta yang disyaki membabitkan bekas PTD turut dibekukan SPRM dalam Op Parasit.

Kes Rasuah & Salah Guna Kuasa Perolehan Pembekalan TKAT & MINDEF

Di samping itu, media pada 15 Januari turut melaporkan dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM antara 23 individu yang ditahan SPRM berhubung siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam.

“Penahanan ini berhubung dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan MINDEF.

“Kes ini saya klasifikasi sebagai kes berprofil tinggi yang perlu ada kesegeraan kerana melibatkan kepentingan awam dan pangkat mereka yang terlibat,” kata Azam Baki dipetik Awani.

Beliau berkata kesemua yang ditahan didakwa menyalah guna dana TKAT bagi kepentingan peribadi dan untuk aktiviti lain yang tidak berkaitan dengannya.

SPRM Rampas Aset RM4.7 Juta Dalam Op Star

Pada hari sama, media melaporkan SPRM telah merampas aset bernilai RM4.7 juta dalam Op Star serta membekukan akaun syarikat berhubung kes rasuah membabitkan pegawai tertinggi ATM berkaitan perolehan pembekalan TKAT dan MINDEF.

Berdasarkan laporan media, Azam Baki berkata aset yang dirampas melibatkan:

  • Dua (2) kenderaan mewah, Mercedes A180 class dan Toyota Vellfire
  • Satu (1) Proton Iriz
  • Dua (2) motosikal, Yamaha Xmax 250 dan Hondo Adv 150
  • Wang tunai berjumlah RM1.3 juta
  • Mata wang asing berjumlah RM721,000
  • 66 plat emas seberat 2.49kg (RM1.7 juta)