Ini Tanda-Tanda Anak Anda Mungkin Jadi Dibuli Di Asrama Atau Sekolah
Dalam dunia pendidikan hari ini, isu buli di sekolah dan asrama semakin hari semakin membimbangkan dan semakin sukar dibendung. Laporan demi laporan tular di media sosial hampir setiap bulan. Ia memperlihatkan bagaimana anak-anak kita yang sepatutnya dilindungi, dibimbing dan diasuh dengan penuh kasih sayang di sekolah atau asrama. Malangnya, mereka sebaliknya menjadi mangsa tekanan emosi, penderaan fizikal dan trauma mental yang berpanjangan. Ramai ibu bapa masih memandang ringan dan menganggap perbuatan buli hanyalah pergaduhan kecil atau gurauan budak-budak semata-mata. Sedangkan realitinya ada mangsa yang terpaksa memendam rasa takut, malu dan derita bertahun-tahun lamanya. Lebih merisaukan, tanda-tanda anak dibuli seringkali begitu halus dan tersembunyi sehinggakan ramai ibu bapa tidak menyangka perubahan kecil pada sikap dan rutin harian anak sebenarnya adalah jeritan halus meminta tolong yang tidak terucap. Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan tanda-tanda penting yang boleh membantu ibu bapa mengesan sama ada anak anda dibuli di sekolah atau di asrama supaya langkah pencegahan dan perlindungan dapat dilakukan sebelum keadaan menjadi semakin parah.1. Barang peribadi kerap hilang atau rosak
Salah satu tanda paling lazim tetapi sering diabaikan ialah apabila barang-barang peribadi anak kerap hilang atau rosak tanpa sebab jelas.
Mungkin hari ini hilang duit belanja sekolah, esok hilang botol air kegemaran, lusa koyak pula beg sekolah yang baru dibeli. Anak biasanya memberikan jawapan mudah seperti tertinggal, kawan pinjam tapi tak pulangkan atau rosak sendiri.
Ibu bapa pula sering berlapang dada dan membelikan yang baru tanpa menyedari bahawa kehilangan barang ini mungkin berpunca daripada perbuatan membuli.
Anak mungkin dipaksa serahkan barang atau barangnya sengaja dirosakkan untuk mengugut dan menakut-nakutkan.
2. Luka atau lebam yang sukar dijelaskan
Selain kehilangan barang, tanda lain yang patut dibimbangkan ialah kesan luka, lebam atau calar pada tubuh anak yang sukar dijelaskan.
Lazimnya, anak yang dibuli akan mencipta alasan mudah seperti jatuh tangga, terlanggar meja atau tersadung ketika berlari.
Namun, jika kesan ini kelihatan berulang kali pada bahagian badan yang sama atau tidak logik dengan cerita yang diberikan, ibu bapa patut lebih peka.
Kadang-kadang mangsa lebih sanggup menanggung sakit fizikal daripada membuka mulut, kerana takut dipukul lebih teruk atau diaibkan rakan jika rahsia terbongkar.
3. Tak mahu ke sekolah atau pulang ke asrama
Selain itu, tanda yang ketara tetapi ramai ibu bapa sangka hanyalah alasan malas ialah apabila anak mula menunjukkan tanda-tanda tidak mahu ke sekolah atau enggan pulang ke asrama selepas cuti.
Ada yang tiba-tiba kerap pura-pura sakit, sering mengadu pening, demam atau letih semata-mata mahu tinggal lebih lama di rumah.
Malah, ada juga yang sanggup menangis merayu untuk tidak dihantar semula ke asrama. Jika anak yang sebelum ini bersemangat untuk ke sekolah kini berubah sebaliknya, ibu bapa harus bertanya lebih mendalam.
4. Perubahan emosi yang mendadak
Perubahan emosi secara mendadak juga adalah petunjuk penting bahawa anak mungkin sedang memendam tekanan.
Anak yang periang tiba-tiba menjadi pendiam, suka mengasingkan diri di bilik, tidak lagi mahu makan bersama keluarga atau cepat marah tanpa sebab yang jelas.
Ada juga yang sukar tidur malam, kerap terjaga atau bangun dengan mimpi buruk.
Semua ini petanda bahawa mereka sedang mengalami tekanan mental yang tidak sanggup diluah dengan kata-kata. Jika tidak diperhatikan, perubahan ini boleh berlarutan hingga menjejaskan hubungan anak dengan ahli keluarga dan rakan sebaya.
5. Prestasi akademik tiba-tiba menurun
Tanda lain yang sering berlaku tanpa disedari ialah penurunan mendadak dalam prestasi akademik.
Anak yang sebelum ini rajin belajar, berdisiplin dan konsisten tiba-tiba malas menyiapkan kerja sekolah, enggan menghadiri kelas tambahan atau keputusan peperiksaan merosot jauh berbanding sebelum ini.
Ramai ibu bapa menyangka ini hanya masalah kurang fokus. Tetapi hakikatnya, anak mungkin tidak mampu menumpukan perhatian kerana ketakutan dan tekanan emosi yang dibawa pulang dari sekolah.
6. Takut bertembung orang tertentu
Ada kalanya, mangsa buli cuba sedaya upaya mengelak untuk bertembung dengan individu tertentu.
Tiba-tiba anak enggan ke kantin pada waktu tertentu, takut melalui kawasan tertentu di sekolah atau meminta dijemput lebih awal dari sekolah.
Jika di asrama pula, anak mungkin takut tinggal di dorm tertentu atau meminta tukar bilik tanpa sebab jelas.
Semua ini wajar menjadi tanda tanya kerana mereka mungkin cuba menjauhkan diri daripada si pembuli. Perkara sebegini tidak seharusnya dianggap remeh kerana rasa takut yang berlarutan boleh membuatkan anak hilang rasa selamat di sekolah.
7. Sering lapar atau mengadu tak cukup makan
Perkara lain yang ramai tidak sangka boleh menjadi petanda buli ialah anak sering pulang dalam keadaan lapar walaupun sudah diberi wang saku mencukupi.
Ada juga anak yang menyembunyikan makanan atau makan secara berlebihan bila pulang bercuti. Ini mungkin berpunca daripada makanan mereka sering dirampas pembuli atau mereka dipaksa berpuasa supaya tidak berani makan di dewan makan bersama orang lain.
8. Kerap minta duit lebih tanpa sebab
Tanda berikutnya ialah anak mula kerap meminta duit lebih atau mengambil duit tanpa pengetahuan ibu bapa.
Ada yang berani mencuri duit adik-beradik atau mengambil duit simpanan kerana terdesak membayar ‘cukai’ atau ‘wang perlindungan’ yang diperas oleh pembuli.
Jika ibu bapa tidak bertanya dan hanya menyerahkan duit, perbuatan buli ini akan terus berlarutan.
Kadang-kadang, jumlah duit yang diminta juga semakin bertambah tanpa alasan yang munasabah. Tetapi anak tetap berkeras atau takut untuk menjelaskan kegunaannya.
Oleh itu, ibu bapa perlu lebih peka dan tidak segan mempersoalkan ke mana wang tersebut dibelanjakan.
9. Mengelak bercakap tentang sekolah
Ramai mangsa buli memilih untuk berdiam diri dan menyimpan rahsia. Bila diajak berbual tentang sekolah, jawapan mereka pendek, tergesa-gesa atau cepat-cepat menukar topik.
Malah ada yang sanggup menipu cerita sebenar kerana takut diugut pembuli jika rahsia terbongkar. Jika keadaan ini berlarutan, ibu bapa patut mencari jalan mendekati anak dengan cara yang lebih halus dan penuh empati.
Anak perlu diyakinkan bahawa rumah adalah tempat paling selamat untuk mereka bercerita tanpa rasa takut disalahkan.
Ibu bapa juga boleh bertanya dengan nada lembut dan mengelakkan tekanan agar anak lebih terbuka berkongsi apa yang terbuku di hati.
10. Perubahan tabiat atau perwatakan di rumah
Namun, yang paling jarang disedari ialah perubahan tingkah laku di rumah. Ada anak yang tiba-tiba menjadi kasar, suka membuli adik-beradik, memukul kucing atau membaling barang. Ini berlaku apabila tekanan yang dipendam di sekolah dilepaskan pada orang di rumah yang lebih lemah.
Sifat membalas dendam kecil ini adalah cara mereka melepaskan marah yang gagal diluah dengan kata-kata.
Kesimpulannya, buli bukan lagi sekadar cerita viral di media sosial yang hangat sehari kemudian senyap begitu sahaja. Ia adalah luka yang jika tidak dirawat segera, akan meninggalkan parut yang mendalam pada jiwa anak-anak kita.
Lebih memburukkan keadaan, mangsa buli berpotensi hilang keyakinan diri, membesar dengan trauma dan membawa luka emosi ke alam dewasa.
Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab untuk memerhati, mendengar dan mendampingi anak dengan telinga dan hati yang terbuka.
Jadikan rumah sebagai ruang paling selamat untuk anak bercerita. Jika benar terbukti dan mempunyai tanda-tanda anak anda dibuli, jangan teragak-agak menghubungi pihak sekolah, warden asrama atau pihak berwajib agar tindakan tegas dapat diambil sebelum tragedi yang lebih besar berlaku.
Sumber : PHM, stopbullying
The post Ini Tanda-Tanda Anak Anda Mungkin Jadi Dibuli Di Asrama Atau Sekolah appeared first on Siakap Keli.




