Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Penggunaan earbuds (fon telinga) atau earphone sudah sinonim dengan masyarakat sekarang untuk pelbagai jenis urusan dari pagi sampailah ke malam. Ini termasuklah untuk tujuan pekerjaan, pendidikan, hiburan, dan banyak lagi.
Ramai yang menggunakannya supaya tidak mengganggu individu lain di sekeliling kita dengan bunyi kuat yang keluar daripada peranti. Bagaimanapun, mungkin bukan semua yang kerap membersihkannya sehingga kelihatan kotor.
Segelintir Individu Mungkin Tidak Pernah Bersihkan Earbuds
Malah mungkin ada di antara kita yang tidak pernah membersihkan earbuds sejak pertama kali membelinya.
Kadangkala bukan tidak mahu membersihkan gajet ini, tetapi segelintir individu tidak tahu cara yang tepat bagi membersihkan kotoran yang melekat pada earbuds termasuklah tahi telinga atau minyak-minyak.
Salah langkah, rosak pula earphone atau TWS (True Wireless Stereo) kita nanti kan?

Bersihkan Earbuds Sekali Seminggu Jika Kerap Menggunakannya
Kalau anda nak tahu, penggunaan earbuds yang kerap dalam rutin harian boleh mengakibatkan pengumpulan tahi telinga, debu, habuk dan pelbagai jenis kotoran yang akhirnya menjadi punca kualiti bunyi terjejas dan menyebabkan isu kebersihan.
Memetik portal BGR, pengguna dinasihatkan untuk membersihkan earbuds sekurang-kurangnya sekali seminggu jika menggunakannya hampir setiap hari.
Ini penting bagi membasmi bakteria sekaligus menyingkirkan risiko terkena jangkitan telinga.

Baca Artikel Berkaitan: Usah Panik Jika Telinga Dimasuki Air, Ikuti 5 Langkah Ini
Baca Artikel Berkaitan: Nampak Macam Kesan Tindik, Tapi Lubang Kecil Di Telinga Boleh Jadi Petanda Masalah Kesihatan
Apa Yang Anda Perlukan Untuk Bersihkan Fon Telinga?
Sekarang anda dah tahu apa kepentingan bersihkan earbuds, di sini kami kongsikan pula barang-barang atau peralatan yang diperlukan untuk memulakan sesi pembersihan earbuds atau fon telinga:
- Berus bulu lembut atau berus gigi: Digunakan untuk menanggalkan habuk dan kotoran yang melekat.
- Alkohol isopropil (70% atau lebih tinggi): Berkesan untuk membasmi kuman dan membersihkan kawasan permukaan.
- Putik kapas (cotton bud): Sesuai untuk membersihkan bahagian yang sukar dicapai dengan lebih teliti.
- Kain mikrofiber: Digunakan untuk mengelap permukaan fon telinga.
- Sabun dan air: Sesuai untuk membersihkan putik silikon yang boleh ditanggalkan.

Ini Tips & Cara Bersihkan Earbuds Dengan Betul
Selepas mempunyai semua barang di atas, anda boleh mula membersihkan earbuds masing-masing. Di sini kami sertakan langkah-langkahnya:
- Matikan (switch off) earbuds dan putuskan sambungannya (disconnect) dari peranti lain.
- Ambil berus berbulu lembut atau berus gigi dan perlahan-lahan memberus di permukaan earbuds bagi menanggalkan kotoran yang melekat.
- Jika earbuds anda mempunyai putik silikon yang boleh ditanggalkan, tanggalkan putik tersebut dan bersihkannya menggunakan campuran sabun dan air. Pasangkan semula selepas silikon sudah kering sepenuhnya.
- Basahkan sedikit putik kapas menggunakan alkohol isopropil lalu bersihkan bahagian luar earbuds.
- Lap keseluruhan permukaan earbuds yang sudah dibersihkan menggunakan kain mikrofiber.
- Periksa sama ada masih terdapat kotoran atau kelembapan pada earbuds. Jika ada, biarkan ia kering sepenuhnya sebelum menggunakannya.
Cara Bersihkan Casing Earbuds
Tiada guna juga kalau earbuds sahaja yang bersih. Bagi mengelakkan bakteria merebak, pastikan juga bekas (casing) earbuds bebas dari sebarang kotoran.
Nak tahu caranya? Ikuti langkah-langkah di bawah ini:
- Pastikan bekas earbuds kosong dan tidak dicas.
- Gunakan berus berbulu lembut atau berus gigi untuk menanggalkan habuk dan kotoran yang melekat pada permukaan bekas.
- Bersihkan setiap permukaan menggunakan kain mikrofiber yang dibasahkan sedikit dengan alkohol isopropil.
- Gunakan putik kapas yang kering untuk membersihkan pin pengecas di dalam bekas.
- Biarkan bekas pengecas terbuka sehingga ia kering sepenuhnya sebelum simpan semula earbuds yang dikeluarkan.
Siap! Ingat, kalau nak peranti kita tahan lama, kenalah jaga dengan sebaiknya, termasuklah memastikan kebersihannya.
Ni antara contoh video yang anda boleh rujuk:
Baca Artikel Berkaitan: [Review] Xiaomi OpenWear Stereo Pro, Lebih Selesa Layan Muzik Tanpa Tekanan Di Telinga
Baca Artikel Berkaitan: Sudah Jadi Satu Amalan, Ini Kesan Buruk Kerap Pakai Earphone Waktu Tidur
Baca Artikel Berkaitan: “Ramai Suka Bawa Tidur” – Pakar Dedah Earphone Lebih Bahaya Berbanding Headphone

