
Kota Kinabalu: Program Parlimen Belia akan menjadi salah satu kunci untuk melahirkan pemimpin belia peringkat akar umbi yang berupaya membentuk masa depan negara, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul.
“Ahli-ahli Parlimen Belia ini akan membahaskan isu berkaitan belia dan mencadangkan resolusi, yang kemudiannya akan dikemukakan kepada jawatankuasa terpilih Parlimen untuk diteliti selanjutnya.
“Ini memastikan belia mempunyai suara dalam proses dasar negara,” katanya ketika melawat Pusat Penyebaran Maklumat Negara (Nadi) di Kg Kopimpinan, Putatan, pada Sabtu.
Program itu adalah salah satu daripada tiga inisiatif yang diketuai Parlimen bagi membentuk pemimpin masa depan, termasuk Program “Sekolah Parlimen” yang sedang berlangsung dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dihidupkan semula.
“Sekolah Parlimen” menyaksikan penyertaan lebih 600 sekolah sejak dimulakan pada Julai, di mana ketua-ketua pelajar lelaki dan perempuan menyertai sesi simulasi Parlimen serta aktiviti lain dua kali seminggu bagi mendalamkam pemahaman mereka tentang institusi terbabit.
PLKN mengendalikan dua kem untuk lelaki dan wanita. Sepanjang tempoh 45 hari, belia berusia 18 hingga 30 tahun dilatih dalam kemahiran kepimpinan dan asas ketenteraan.
Johari berkata Parlimen Belia adalah sebahagian daripada strategi lebih luas untuk melahirkan pemimpin dalam pelbagai sektor, termasuk pendidikan, perindustrian, kewangan dan seni sekali gus meletakkan golongan belia sebagai pembina negara masa depan.
Beliau berkata program itu akan merangkumi parti-parti politik berasaskan belia yang dibentuk di universiti. Pelajar mengetuai pembentukan parti-parti ini termasuk menghasilkan manifesto dan akhirnya berkempen untuk mendapatkan ahli.
“Keanggotaan Parlimen Belia telah ditingkatkan daripada 100 kepada 222 untuk mencerminkan Parlimen Malaysia sebenar,” katanya.
“Kita tidak boleh berpuas hati. Pemimpin datang dan pergi. Terserah kepada generasi seterusnya untuk memastikan misi kita diteruskan.”Sehingga September, sejumlah 131 pusat Nadi beroperasi di seluruh negeri. Menerusi program seperti Parlimen Belia, Johari yakin Nadi boleh menjadi pusat rujukan kepimpinan yang memupuk belia berani serta berkeupayaan.




