
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) merangkap Presiden Malaysian Indian Youth Council (MIYC), Dhanesh Basil, menzahirkan sokongan penuh dan penghargaan terhadap komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuh agenda pembangunan masyarakat India melalui pengumuman enam inisiatif baharu di bawah Mitra yang bernilai RM65.5 juta.
Menurut Dhanesh, pengumuman itu bukan sekadar satu inisiatif bantuan, tetapi merupakan manifestasi jelas iltizam kerajaan dalam memastikan agenda keterangkuman sosial dilaksanakan secara lebih tersusun, bersasar dan berimpak tinggi, khususnya dalam memperkasa komuniti India agar tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.
Jelasnya, golongan belia amat mengalu-alukan fokus yang diberikan kepada sektor pendidikan melalui pelaksanaan Program Subsidi Pendidikan Awal Untuk Kanak-Kanak India (CELIK Madani) serta Program Tuisyen Madani (KALVI Madani) yang disasarkan kepada pelajar daripada keluarga B40.
"Pelaburan dalam pendidikan sejak peringkat awal merupakan pendekatan yang tepat bagi memastikan generasi muda masyarakat India mempunyai akses yang lebih baik kepada peluang pendidikan berkualiti.
"Pendidikan merupakan instrumen paling berkesan dalam memutuskan kitaran kemiskinan antara generasi dan membuka ruang mobiliti sosial yang lebih luas kepada golongan belia.
"Kami percaya usaha memperkasakan masyarakat perlu bermula dengan memperkukuh akses pendidikan yang berkualiti,'' katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dhanesh, inisiatif seperti CELIK Madani dan KALVI Madani bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga B40, malah mampu melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
MIYC, katanya, turut menyambut baik Program Bantuan Geran Startup Accelerator (UYARVU Madani) yang menyediakan bantuan sehingga RM50,000 kepada usahawan India kategori B40 dan M40.
"Inisiatif ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan keusahawanan belia, khususnya dalam sektor ekonomi baharu seperti teknologi digital, e-dagang dan industri kreatif yang semakin berkembang,'' ujarnya.
Dhanesh juga berharap MITRA akan terus memperluaskan inisiatif berkaitan pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kemahiran serta kebolehpasaran belia selaras dengan keperluan ekonomi masa hadapan.
Tambahnya, usaha ini penting bagi melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara serta memperkukuh kedudukan masyarakat India dalam pelbagai sektor strategik.
Beliau turut menyatakan MIYC, yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi belia India melalui rangkaian 123 cawangan di seluruh negara, wajar diberikan peluang untuk terlibat secara aktif dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Mitra.
Menurut beliau, pengalaman serta jaringan akar umbi yang dimiliki MIYC membolehkan organisasi itu menjadi rakan strategik yang berkesan dalam memastikan manfaat program dapat disampaikan secara lebih meluas dan berimpak kepada golongan sasar.
“Sebagai organisasi belia India terbesar yang mempunyai kehadiran di seluruh negara, MIYC bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Mitra dalam melaksanakan pelbagai program yang dapat memperkukuh agenda pembangunan belia India.
"Kami yakin bahawa penglibatan organisasi belia yang mempunyai capaian terus kepada komuniti akan membantu memastikan setiap inisiatif yang diperkenalkan mencapai objektif yang disasarkan,” katanya.
Beliau menambah kerjasama strategik antara Mitra dan MIYC mampu memperkasakan agenda pembangunan belia India secara lebih menyeluruh, khususnya dalam bidang pendidikan, pembangunan kemahiran, keusahawanan, kepimpinan dan pemerkasaan ekonomi selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. - 30 Mei, 2026
The post Inisiatif pendidikan, pemerkasaan belia bawah Mitra perkasa komuniti India: Dhanesh appeared first on Scoop.






