SHAH ALAM, 28 SEPT: Inisiatif Tangkap Ikan Bandaraya (pleco) di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat anjuran Kerajaan Negeri sepanjang bulan ini mampu menjaga ekosistem hidupan air.
Pengarah Jabatan Perikanan negeri berkata program julung kali itu wajar diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada kelestarian dan generasi akan datang.
“Program ini bagus kerana matlamatnya memang mahu menjaga ekosistem sungai. Kita akan lihat semua aspek sebelum memutuskannya tetapi kemungkinan besar inisiatif ini diteruskan.
“Kita tunggu hasil perbincangan selepas program berakhir esok,” kata Noraisyah Abu Bakar kepada Selangorkini.

Setiap hari minggu sepanjang bulan ini, Kerajaan Negeri menerusi jawatan kuasa tetap pertanian mengadakan tangkapan ikan pemangsa dengan tawaran RM1 sekilo.
Insentif diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Ogos lalu sebagai langkah mengurangkan populasi yang menjadi antara penyebab runtuhan tebing sungai dan ban.
Sejumlah 3,734 kg ikan asing ditangkap sejak 1 September dan program bakal berakhir petang esok.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri menyasarkan 50,000 kg ikan bandaraya ditangkap menerusi program berkenaan sepanjang bulan ini.

The post Inisiatif Selangor buru ikan bandaraya, jaga ekosistem sungai dipuji appeared first on Selangorkini.


