Inkues dedah Zara Qairina dituduh curi dompet RM300 sebelum ditemui tidak sedarkan diri

LocalPolitics
12 Sep 2025 • 3:44 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Kes kehilangan dompet berisi wang tunai RM300 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, menjadi tumpuan perbicaraan inkues melibatkan kematian pelajar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Saksi kelima, Linah Mansoding, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa wujud perbualan dalam kalangan pelajar asrama mengenai tuduhan kononnya Zara Qairina yang mencuri dompet tersebut.

Laporan kehilangan dompet

Menurut Linah, seorang pelajar yang dikenali sebagai A mendakwa dompetnya hilang pada 15 Julai lalu. Dompet itu disimpan dalam beg pada waktu pagi, tetapi tidak ditemui semasa diperiksa pada sebelah malam.

“Pelajar itu memberitahu terdapat wang tunai RM300 dan satu kad bank di dalam dompet berkenaan,” katanya. Namun, pelajar tersebut tidak pernah menamakan sesiapa yang disyaki mengambilnya.

Linah berkata, dia menasihati pelajar A supaya meminta warden menyimpan wang untuk mengelakkan risiko kehilangan.

Baca juga:

Nama Zara Qairina disebut

Inkues turut dimaklumkan kehilangan dompet itu dilaporkan kepada pelajar senior sebelum warden, Ustaz Rizani, mula menyiasat dengan menyoal dua pelajar terbabit serta beberapa pelajar lain secara individu.

“Ketika itu, Zara Qairina dipanggil oleh pelajar tingkatan empat untuk ditanya mengenai tuduhan mencuri,” kata Linah.

Namun, apabila peguam keluarga arwah bertanya mengapa hanya Zara Qairina dituduh, Linah menjawab dia tidak mengetahui sebabnya.

Interaksi terhad dengan arwah

Linah turut menjelaskan sepanjang sesi persekolahan 2025, dia hanya berhubung dengan Zara Qairina sebanyak dua kali, termasuk menegur remaja itu selepas terlihat video TikTok yang tular dan ketika melarangnya berada di kawasan dobi selepas tengah malam.

Tidak lama selepas insiden tuduhan tersebut, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.

Sumber: Harian Metro