Pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa tiada individu yang menolak atau membunuh Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Inspektor Wong Yew Zhung yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, tiada sebarang unsur mencurigakan ditemui berhubung kematian Zara.
Advertisement
Ketika disoal peguam Joan Goh mengenai kemungkinan kematian berpunca daripada kemalangan, Yew Zhung berkata perkara tersebut perlu dirujuk kepada pakar.
Inkues Polis Teliti Hubungan Zara Dengan Keluarga
Yew Zhung turut mengesahkan bahawa beliau telah meneliti hubungan Zara dengan ahli keluarganya.
Menurutnya, ahli keluarga Zara merupakan antara kira-kira 200 individu yang telah dipanggil untuk memberikan keterangan sepanjang siasatan.
Peguam kemudian bertanyakan sama ada polis mengenal pasti mana-mana pihak yang mempunyai motif untuk memalsukan tulisan tangan Zara dalam diari serta 15 helaian kertas yang diserahkan kepadanya, seperti yang dimaklumkan dalam keterangannya sebelum ini.
“Tiada sebarang kepentingan bagi mana-mana pihak untuk berbuat demikian,” jawabnya.
Zara Tiada Kecederaan Lain Selain Kesan Jatuh
Terdahulu, ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, Yew Zhung berkata punca kematian Zara telah dikenal pasti menerusi diagnosis doktor sebelum bedah siasat dijalankan.
Sebelum ini, ibu Zara dilaporkan telah dimaklumkan oleh Dr Pavankumar Balachandran bahawa anaknya meninggal dunia akibat ‘severe traumatic brain injury with hypoxic ischemic encephalopathy’, iaitu kecederaan otak traumatik teruk yang berpunca daripada ensefalopati iskemia hipoksik.
Yew Zhung bersetuju dengan soalan Shahlan bahawa bedah siasat tetap perlu dijalankan sekiranya punca kematian telah diketahui tetapi terdapat keadaan atau keadaan sekeliling yang mencurigakan.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau percaya wujud sebarang keadaan mencurigakan di sebalik kematian Zara, Yew Zhung berkata penilaian awal berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian, maklumat dalam diari Zara serta diagnosis doktor mendapati tiada sebarang kejanggalan.
Beliau turut memaklumkan bahawa penemuan akhir siasatan menunjukkan tiada kecederaan lain pada tubuh Zara selain kecederaan yang berpunca daripada jatuh dari tempat tinggi.
Lima Pelajar Didakwa Menghina Zara Qairina
Zara ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Pada 20 Ogos 2025, lima pesalah kanak-kanak yang dikenali dengan pseudonim Pelajar A, B, C, D dan E telah dihadapkan ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan menghina Zara.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Prosiding inkues pula bermula pada 3 September 2025 bagi menentukan punca sebenar serta keadaan di sekeliling kematian Zara, termasuk menyiasat sama ada wujud pembabitan unsur jenayah. – BERITA HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Pesawat ‘Terhempas’ Di KLIA, Rupanya Simulasi Kecemasan Libatkan 24 Agensi
The post (INKUES) Tiada Bukti Zara Qairina Ditolak Atau Dibunuh – Inspektor Wong first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






