
KOTA KINABALU – Saksi ke-53 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa bapa pelajar itu kelihatan beremosi ketika meminta anaknya bangun semasa berada di Hospital Queen Elizabeth.
Nur Shukriah Mohd Fauzi, yang juga guru disiplin di sekolah Allahyarham Zara Qairina berkata demikian ketika diminta merujuk kepada pernyataan saksinya sebelum ini yang menyebut bahawa semasa di hospital, ibu pelajar itu tidak berada di wad ketika seorang doktor meminta izin untuk mencabut bantuan pernafasan.
Peguam yang mewakili bapa Zara Qairina, Clarice Vyonne Conrad, kemudian bertanyakan kepada saksi sama ada beliau mendengar bapa pelajar itu berkata apa-apa.
“Ketika itu ayahnya nampak sangat emosilah. Seingat saya, masa kami sampai, ayahnya berada di hujung dinding, di penjuru bilik itu. Tetapi apabila doktor cakap nak cabut oksigen, ayahnya datang ke tepi katil macam ada emosi sikit sambil berkata, Zara bangun, Zara macam itulah lebih kurang,” katanya semasa memberikan keterangannya di sini pada Khamis.
Ditanya sama ada ibu Zara Qairina ada berkata apa-apa pada ketika itu, saksi merujuk kembali kepada pernyataan yang ditulisnya sebelum ini bahawa wanita berkenaan reda dengan pemergian anaknya.
“Macam saya tulis dalam ini, mama reda, Zara nak pergi, Zara anak manja mama, Zara anak yang baik,” katanya.
AKAN MENYUSUL

