KOTA KINABALU - Seorang pakar perunding psikiatri forensik mendedahkan kepada Mahkamah Koroner, di sini, bahawa autopsi psikologi yang dijalankan terhadap kematian Zara Qairina Mahathir adalah paling konsisten dengan mengakhiri nyawa sendiri.
Dr Chua Sze Hung, 43, yang bertugas di Hospital Mesra Bukit Padang Kota Kinabalu berkata, rumusan itu berdasarkan pandangannya bahawa Zara Qairina mempunyai lebih banyak faktor risiko berbanding faktor pelindung semasa kejadian.
"Ketidakseimbangan ini meningkatkan kerentanan terhadap tingkah laku bunuh diri. Gabungan faktor predisposisi dan pencetus menunjukkan bahawa tindakan akhir tersebut berkemungkinan merupakan usaha untuk menamatkan penderitaan, berlaku dalam keadaan tekanan akut yang melampau, penilaian terganggu dan pengurangan akses kepada mekanisme perlindungan normal, bukannya perbuatan yang dirancang dengan teliti untuk menamatkan hayat.
"Oleh itu, autopsi psikologi ini menyimpulkan bahawa cara kematian adalah paling konsisten dengan bunuh diri," katanya semasa membacakan keterangan saksinya di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan, pada Khamis.
Tambahnya lagi, hasil kesimpulan autopsi psikologi Zara Qairina yang dilakukan juga membawa kepada dapatan utama.
"Saya tidak percaya si mati telah ditolak secara fizikal, kerana tiada bukti yang boleh dipercayai pada masa penulisan laporan yang menyokong perkara tersebut.
"Terdapat maklumat yang menunjukkan disregulasi emosi, kemarahan yang kuat, tingkah laku mencederakan diri, hubungan interpersonal yang tidak stabil dan ketakutan ditinggalkan; namun ia tidak mencukupi untuk membuat diagnosis gangguan personaliti secara retrospektif.
"Walaupun terdapat maklumat yang menunjukkan simptom kemurungan, saya tidak percaya bahawa si mati mengalami penyakit mental yang teruk yang boleh didiagnosis sebelum kejadian yang didakwa," katanya.
Sze Hung berkata, bunuh diri ialah tindakan yang disengajakan dan mencederakan diri yang membawa kepada kematian.
"Ia merupakan fenomena kompleks dengan pelbagai faktor penentu. Adalah tidak tepat untuk mengaitkan semua kes bunuh diri dengan penyakit mental yang boleh didiagnosis.
"Sekitar satu perlima percubaan bunuh diri sepanjang hayat berlaku tanpa gangguan psikiatri yang jelas (Oquendo et al., 2024). Lebih separuh mangsa bunuh diri tidak mempunyai keadaan kesihatan mental yang diketahui (Stone et al., 2018).
"Salah satu punca utama kematian dalam kalangan remaja adalah bunuh diri (WHO, 2021). Hampir tiga daripada lima remaja yang meninggal akibat bunuh diri tidak mempunyai diagnosis kesihatan mental terdahulu (Chaudhary et al., 2024).
"Kajian di Malaysia menunjukkan remaja berumur 13 hingga 15 tahun mempunyai risiko lebih tinggi untuk cubaan bunuh diri berbanding kumpulan umur lain. Pelajar yang ibu bapanya berpisah juga menunjukkan kemungkinan lebih tinggi untuk cubaan bunuh diri (Liew et al., 2023)," katanya.
Beliau berkata, dalam kes Zara Qairina, faktor risiko termasuk tetapi tidak terhad kepada tekanan hidup, persepsi diri negatif, persepsi dibuli, pencapaian akademik tidak memuaskan, sejarah penggunaan bahan e-rokok, kemarahan, agresi (verbal), tingkah laku mencederakan diri tanpa niat bunuh diri, perpisahan ibu bapa, konflik dengan ibu bapa, sensitiviti sosial, simptom kemurungan, masalah tingkah laku dan keinginan untuk mati.
"Faktor pencetus termasuk peristiwa hidup yang tertekan (soal siasat) dan rasa pengasingan.
"Keadaan lain yang menyumbang termasuk kekurangan tidur kronik dan kekecewaan akibat peringatan Badar.
"Perlu ditekankan bahawa beberapa faktor risiko bunuh diri telah wujud sebelum si mati memasuki sekolah tersebut, iaitu perbuatan sengaja mencederakan diri sendiri (NSSI) perpisahan, perceraian ibu bapa, konflik dengan ibu bapa, sensitiviti sosial, kemarahan, agresi verbal, sejarah penggunaan e-rokok dan keinginan untuk mati," katanya.
Beliau sebelum itu telah menyediakan laporan psikiatri setebal 84 muka surat untuk mahkamah hasil analisis daripada sumber maklumat 40 individu yang juga merupakan saksi dalam inkues ini serta laporan berkaitan dengan kejadian tersebut.
Katanya, kamar Peguam Negara Sabah telah meminta penilaian psikiatri terhadap Zara Qairina daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 17 September 2025 dan laporan disediakan untuk membantu inkues Mahkamah Koroner Kota Kinabalu mengenai kematian remaja tersebut.
Menurutnya, satu pasukan terdiri daripada tiga anggota telah dilantik oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia pada 19 September 2025 termasuk beliau sendiri dan Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Dr Nurulwafa Hussain dan Pakar Psikologi Klinikal, Norhameza Ahmad Badruddin.
"Pasukan berpendapat bahawa autopsi psikologi adalah pendekatan paling sesuai untuk membantu Mahkamah Koroner dalam mencapai objektif inkues.
"Laporan ini memberi tumpuan utama kepada isu kebarangkalian sama ada Zara Qairina membunuh diri, dan jika ya, dalam keadaan bagaimana ia mungkin berlaku," katanya.


