
KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Mustapha, Limauan, mendedahkan di mahkamah bahawa warden asrama dikenali sebagai Ustaz Azhari didakwa mengarahkan dua pelajar untuk membersihkan kawasan, selepas Zara Qairina Mahathir, 13, dibawa menaiki ambulans.
Katanya, ada darah yang keluar dari kaki Zara.
“Ada keluar darah dari kaki Zara dan mereka bersihkan tempat di mana Zara dialihkan selepas sahaja ambulans beredar.
“Terdapat seorang pengawal lelaki turut membantu dengan menyuluh lampu. Namun, kesan darah yang sudah menjadi hitam masih kelihatan sehingga kini,” kata saksi, Linah Mansoding, 65 tahun, ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, hari ini.
Linah merupakan saksi keenam prosiding inkues kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
Katanya, kesan darah berhampiran longkang tempat Zara Qairina mula-mula ditemui hilang selepas hujan lebat.
Sebelum ini, Linah memberitahu mahkamah bahawa beliau melihat dua pelajar, seorang rakan sekelas, dan Ustaz Azhari mengangkat Zara Qairina.
“Ketika itu, Zara tidak memakai tudung, sebahagian tubuh atasnya terdedah dan tiada selipar atau kasut berhampiran.
“Saya juga nampak darah mengalir dari leher dan kaki kirinya, malah tulang kakinya terkeluar,” katanya.
Menurut Linah, beliau melihat pergerakan itu dari lokasi Zara ditemui sehingga ke hadapan rumah seorang lagi warden berhampiran pintu keluar sekolah.
Saksi turut meniru bunyi nafas terhenti-henti, menggambarkan keadaan Zara ketika menunggu ambulans, yang hanya tiba selepas kira-kira satu jam.
Peguam keluarga mangsa, Shahlan Jufri, kemudian bertanya mengapa pelajar itu dialihkan.
“Saya tidak pasti, tapi mereka kata kasihan kepada Zara,” jawabnya sambil menambah kawasan Zara ditemui telah dua bulan tidak mempunyai bekalan elektrik.
Linah juga mengakui bahawa Ustaz Azhari pernah memintanya memadam gambar yang diambil ketika Zara Qairina mula-mula ditemui.
“Dia ada minta saya padam gambar tersebut kerana bimbang tersebar kalau ada pelajar lain meminjam telefon saya,” katanya.
Mahkamah dimaklumkan bahawa gambar tersebut kini telah dikemukakan sebagai bahan bukti dalam prosiding inkues yang berlangsung selama 17 hari. - Getaran, 12 September 2025


