Inovasi Bot Telegram iCEPS UiTM: Gapai emas IIDEX, memanusiakan teknologi

LocalTechnology
31 Mar 2026 • 3:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) terus memperkasa transformasi digital melalui pembangunan ekosistem bot Telegram pintar—ADAM, HAWA, AiReef dan AiAmeen.

Inovasi ini bukan sekadar bantuan teknikal, malah mencerminkan kecemerlangan yang diiktiraf di peringkat institusi.

Keupayaan ekosistem ini terbukti apabila bot AiAmeen, ADAM, HAWA dan AiReef berjaya merangkul pelbagai kategori pingat termasuk Berlian, Emas, Perak dan Gangsa di International Exhibition and Innovation Competition (IIDEX) UiTM 2025.

Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan bot tersebut dalam mengautomasikan penyampaian maklumat akademik secara lebih tepat dan efisien.

Bot AiAmeen yang berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) berfungsi sebagai tutor digital masa nyata, manakala AiReef pula menawarkan sokongan input suara dan teks melalui integrasi aliran kerja digital yang lebih fleksibel.

**media[3477219]**

Ketua Eksekutif iCEPS, Prof. Dr. Faizah Abd. Majid berkata, falsafah “Humanizing Technology” menjadi tunjang utama bagi memastikan teknologi berperanan sebagai pemudah cara yang mesra pengguna.

“Kami menitikberatkan aspek kebolehcapaian aplikasi ini; dengan hanya menggunakan Telegram, maklumat berada di hujung jari pelajar 24 jam sehari melalui proses yang lebih ringkas dan pantas,” jelas beliau.

Impaknya dapat dilihat apabila inisiatif ini membantu mengurangkan beban administratif serta meningkatkan literasi AI dalam kalangan warga iCEPS. Pendekatan digital yang responsif ini memastikan pelajar pendidikan jarak jauh (ePJJ) terus mendapat akses kepada sokongan maklumat yang diperlukan.

Inisiatif ini turut memperkukuh komitmen iCEPS dalam menyokong aspirasi UiTM 2030 ke arah menjadi universiti premier berimpak tinggi.