Inovasi Teknologi Nuklear Meningkatkan Keselamatan Perlindungan Sinaran Di Malaysia

LocalTechnology
18 Sep 2024 • 5:22 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

image is not available

Inovasi Teknologi Nuklear Meningkatkan Keselamatan Perlindungan Sinaran Di Malaysia

JOHOR BHARU, 17 September 2024 – Dalam landskap teknologi moden dan pesat masa kini, amalan perlindungan sinaran yang baik perlu diberi penekanan untuk memastikan keselamatan pekerja, orang awam dan alam sekitar.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, berkata pemerhatian dan pemahaman terhadap amalan semasa, inovasi teknologi terkini dan trend masa hadapan menyumbang ke arah kepada pemahaman tentang panorama perlindungan sinaran yang sentiasa berevolusi.

Tambahnya, Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) yang diperkenalkan MOSTI adalah bertujuan untuk menangani isu tersebut di samping memperluaskan tahap sumbangan teknologi nuklear kepada produktiviti negara bagi menyokong aspirasi menjadi sebuah negara yang progresif dan mampan menjelang 2030.

“Sehubungan itu, kepentingan amalan keselamatan perlindungan yang terbaik tidak boleh sama sekali dikompromikan dalam apa jua keadaan sekalipun dan pelbagai inovasi perlu dihasilkan untuk meningkatkan keselamatan dan perlindungan sinaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran (RPCW 2024) di sini, hari ini.

image is not available

RPCW 2024 merupakan anjuran bersama Agensi Nuklear Malaysia dan Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia (MARPA), dengan kolaborasi Jabatan Tenaga Atom serta disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan bertemakan Enhancing Radiation Safety Practices: Innovations and Emerging Technologies.

Persidangan yang diadakan selama empat hari mulai 17 hingga 20 September ini menghimpunkan seramai 200 orang para profesional dan pengamal sinaran mengion dari seluruh Malaysia.

RPCW 2024 merupakan satu platform yang ideal bagi semua pihak untuk berkongsi idea, ilmu dan strategi terbaik dan menjadi sebagai satu acara yang penting untuk mencapai agenda negara selaras dengan DTNN iaitu mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman ke arah mempertingkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memelihara sumber asli dan alam sekitar.

RPCW 2024 turut menyediakan bengkel interaktif meja bulat dan sesi forum yang mengupas peluang dan cabaran perlindungan sinaran terhadap inovasi dan teknologi baharu dalam usaha untuk meningkatkan kemajuan keselamatan dan perlindungan sinaran di Malaysia.

image is not available

Peserta berpeluang mengikuti sesi lawatan teknikal di fasiliti Jabatan Kastam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bagi mengetahui aplikasi teknologi nuklear melalui aktiviti pengimbasan mesin x-ray ke atas pengangkutan di laluan pintu keluar dan masuk.

Program ini juga telah menerima nilai mata pemberat (CEP) yang diiktiraf oleh Jabatan Tenaga Atom Malaysia di mana peserta yang mengikuti program ini sepenuhnya layak untuk memperbaharui Lesen Pegawai Perlindungan Sinaran (RPO) di Malaysia seterusnya mengekalkan kompetensi mereka sebagai pengamal sinaran.